Presiden Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Datuk Seri Abdul Hadi Awang berpendapat caruman dua peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dicadangkan kepada golongan suri rumah adalah satu usaha yang kecil jika hendak dibandingkan dengan tanggungjawab suami dilihat jauh lebih besar.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu juga, caruman tersebut hanyalah asas berbanding dengan apa yang telah ditetapkan agama Islam.

“Pelaksanaan dua peratus KWSP tersebut adalah satu perkara yang wajar kita terima.

“Bahkan dalam Islam, tanggungjawab (suami) yang sebenarnya adalah lebih besar daripada itu,” katanya dalam suatu temu bual eksklusif bersama Astro AWANI hari ini.

Selain itu, beliau turut berpendapat caruman berkenaan boleh sahaja tidak dilaksanakan sekiranya masyarakat kita mempunyai kefahaman Islam yang jelas mengenai rumahtangga.

“Dalam Islam, tanggungjawab seorang suami terhadap isterinya adalah besar.

“Bagaimanapun, disebabkan kefahaman masyarakat kita mengenai Islam masih cetek, jadi caruman ini harus dilakukan.

“Tetapi sekiranya masyarakat kita sudah mempunyai kefahaman yang jelas, ia tidak diperlukan,” jelasnya lagi.

BACA: Caruman suri rumah: Wan Azizah jumpa KWSP minggu depan

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Wan Azizah Wan Ismail memaklumkan beliau akan bertemu dengan pihak KWSP bagi membincangkan mekanisme terbaik bagi merealisasikan janji Pakatan Harapan (PH) untuk mewujudkan caruman KWSP kepada golongan suri rumah.