Satu kaedah tambahan pendidikan bahasa Inggeris akan diperkenalkan di negara ini untuk meningkatkan penguasaan pelajar terhadap bahasa berkenaan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kaedah yang dinamakan Ujian Pencapaian Cambridge (CATs) itu akan memulakan pengenalan bahasa Inggeris dengan memfokuskan sekolah-sekolah di luar bandar sebelum ia diperluaskan ke seluruh negara kelak.

Katanya, merupakan inisiatif tambahan selepas Program Imersif Tinggi, (HIP) dan program Saringan Literasi dan Numerasi (Linus 2.0) yang diperkenalkan sebelum ini.

"Kementerian Pendidikan telah memberi sokongan kepada program ini dan ia merupakan satu inisiatif yang sangat baik dan penting untuk melihat pelajar terutama di luar bandar dapat menguasai komunikasi bahasa Inggeris.

"Ia merupakan sejarah kepada negara, acuannya sudah tersedia dan guru juga sudah diberi latihan," katanya semasa sidang media selepas Majlis Penerangan Strategi Pelaksanaan Pendidikan Bahasa Inggeris ke Arah Kemenjadian Murid di sini hari ini.


Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Cambridge Malaysian Education and Development Trust (CMEDT), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk menyampaikan pendidikan bahasa Inggeris yang berkualiti. Ia telah disebutkan bahawa di antara inisiatif yang dilaksanakan untuk meningkatkan tahap bahasa Inggeris.

Selain HIP dan LINUS 2.0, inisiatif yang dijalankan adalah Rancangan Sokongan Sekolah (SSP) bertujuan untuk membantu guru meningkatkan penguasaan pelajar terhadap Bahasa Inggeris.

Dalam pada itu jelas Mahdzir, satu jawatankuasa kerja yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof turut dibentuk untuk memantau dan mengerakkan pelaksanaan CATs.

"Program-program sebelum ini telah membuahkan hasil apabila pencapaian subjek Bahasa Inggeris dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 adalah paling terbaik dalam tempoh lima tahun.

"Maka kita berharap pengenalan CATs dapat meningkatkan lagi penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid dan pelajar kita menjelang 2020," jelasnya.