Pengurusan masjid dan surau di negeri ini disyor supaya memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi membendung kejadian mencuri tabung serta peralatan masjid sejak kebelakangan ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abd Jalil Hassan berkata ini berikutan lima daripada 13 kes kecurian di masjid dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini dapat diselesaikan hasil daripada rakaman CCTV di masjid berkenaan.

Beliau juga meminta ahli-ahli kariah masjid supaya menyampaikan maklumat awal kepada polis jika melihat kegiatan yang mencurigakan seperti individu yang jarang kelihatan di masjid namun kerap melakukan ibadat itu pada waktu malam.

"Dengan adanya aduan, polis dapat menjalankan siasatan awal bagi membendung kes ini," katanya kepada pemberita selepas majlis jamuan Hari Raya Adidilfitri Polis Kontinjen Melaka.

Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob turut menghadiri majlis itu.

Beliau juga menasihatkan pengurusan rumah ibadat agama lain mengambil langkah keselamatan yang sama dengan memasang CCTV bagi mengelak kejadian yang sama.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Abd Jalil berkata Isteri kepada mangsa dalam kejadian samun bersenjata di Taman Bukit Terendak, Sungai Udang pada 14 Julai telah dipindahkan ke Hospital Serdang, Selangor pagi tadi bagi mendapatkan rawatan daripada pakar saraf.

Beliau berkata keadaan isteri mangsa yang merupakan saksi utama kes berada dalam keadaan stabil.

"Polis telah berjaya mengumpul barang kes seperti rantai tangan mangsa dan percikan darah mangsa pada pakaian suspek dan yakin kes ini dapat diselesaikan," katanya.

--BERNAMA