Seorang murid perempuan yang menggemparkan pihak sekolah kerana dilaporkan hilang dari asrama di Sekolah Kebangsaan (SK) Menyan, Jalan Nobong Tada di Sibu pada awal pagi Isnin, dijumpai dalam keadaan selamat.

Kehilangan Monica Niga Marylyn, 8, dari Rumah Panjang (RH) Lapok, Sungai Menyan telah menimbulkan suasana cemas di sekolah tersebut apabila ada mendakwa murid itu diculik.

Pemangku Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Wan Kamaruddin Wan Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu sekitar jam 8.03 pagi.

“Menurut laporan diterima, Monica dilihat oleh seorang rakan asramanya pergi ke tandas namun tidak masuk semula ke bilik tidur asrama selepas itu.

“Usaha mencari Monica telah dibuat di sekitar sekolah dan kawasan berhampiran sejurus selepas warden sekolah melaporkan dia tidak berada di tempat tidurnya pada jam 5.10 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sebaik sahaja menerima laporan daripada pihak sekolah, beliau berkata, sepasukan anggota telah dihantar ke tempat kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Foto JBPM

Namun, ujarnya, setiba di lokasi pada jam 10.08 pagi, pihak bomba dimaklumkan bahawa murid itu dilaporkan hilang telah dijumpai oleh orang awam.

“Difahamkan murid itu bukan diculik tetapi dipercayai mengigau dan berjalan sendirian sehingga tersesat sejauh empat kilometer dari sekolah," katanya.

Foto JBPM