CEO syarikat pengendali umrah didakwa menipu guna dokumen palsu

CEO syarikat pengendali umrah didakwa menipu guna dokumen palsu
Wan Muhd Zamri (dua dari kiri) didakwa dengan curang memperdaya ejen pengurusan umrah di Arab Saudi, Shukri Mamah dengan menggunakan sesuatu dokumen sebagai tulen. - Astro AWANI
KOTA BHARU: Seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat pengendali umrah terkemuka di Kelantan didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini atas tuduhan memalsukan dokumen pemindahan Telegraf.

Tuduhan terhadap Wan Muhd Zamri Wan Salleh, 46 tahun, dibuat di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curang memperdaya ejen pengurusan umrah di Arab Saudi, Shukri Mamah dengan menggunakan sesuatu dokumen sebagai tulen iaitu empat pemindahan Telegraf Bank Muamalat yang diketahui palsu di bangunan wisma syarikat berkenaan pada 27 Jun 2016.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang boleh memboleh membawa hukuman dua tahun penjara atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ho Zee Xing menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Mohd Ilias Mohd Noor memohon jaminan itu dikurangkan kerana tertuduh menghidap penyakit jantung dan anaemia.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh dibebaskan selepas menjelaskan jaminan tersebut.

Tag: CEO, ketua pegawai eksekutif, syarikat pengendali umrah, palsukan dokumen, kelantan, wan muhd zamri wan salleh, mahkamah


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.