Fungsi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) hanya menasihati dan memberi pandangan kepada kerajaan, tegas Datuk Liew Vui Keong hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) itu berkata, kerajaan tidak terikat dengan sebarang nasihat atau pandangan yang dikemukakan.

“Isu akauntabiliti ini adalah terletak kepada kerajaan. Kerajaan tidak semestinya terikat dengan laporan yang diberikan pihak ini.

“Kita akan dengar (laporan CEP), teliti dan buat keputusan,” ujarnya pada sidang Dewan Rakyat di sini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang bertanyakan berkenaan punca kuasa CEP.

Liew turut menegaskan, CEP akan dibubarkan dalam tempoh 100 hari selepas penubuhannya.

"Kita kena pastikan bahawa kita beri kerjasama kepada CEP memandangkan mereka hanya wujud untuk 100 hari, mereka akan dibubarkan (selepas itu)," katanya.

Ia selari dengan tujuan penubuhannya, iaitu bagi membantu kerajaan Pakatan Harapan dalam membentuk polisi dan program bagi mencapai janji 100 Hari, tambahnya.

Mengulas berkenaan tindakan Pengerusi CEP, Tun Daim Zainuddin ke China baru-baru ini, Liew menegaskan ia adalah arahan daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.