Prof Dr Jomo Kwame Sundaram menegaskan Laporan 100 hari pentadbiran kerajaan yang disediakan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) tidak perlu didedahkan kepada umum.

Ahli CEP itu berkata, CEP tiada niat untuk mendedahkannya kepada umum kerana tanggungjawab mereka menyerahkan laporan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya tidak rasa perlu (didedahkan) kerana ada beberapa isu, Kerajaan telah membuat keputusan, jadi kenapa mesti berbeza (dari keputusan) dan orang ramai akan bercakap.

"Mudah, kami tiada niat untuk mendedahkannya kepada umum, kami hanya mahu menyediakan bantuan nasihat kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang kami jangka beliau akan berkongsi laporan dengan menteri berkaitan serta membuat keputusan," katanya kepada media selepas Wacana bertajuk "Industrial and Economic Policy In Malaysia Baharu" di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di ibu negara.


Jelasnya, tindakan mendedahkan laporan CEP secara umum dibimbangi akan disalaherti sesetengah pihak.

Malah, beliau turut bimbang tindakan berkenaan hanya akan memberi kesan kepada mana-mana industri atau negara-negara tertentu.

"Ia bukan sejenis laporan yang sepatutnya diterbitkan. Jadi kenapa ia mesti diterbitkan? Sesetengah kandungannya adalah sensitif dan kerajaan mesti diberi bantuan nasihat (CEP). Banyak perkara rumit, jadi kamu tidak boleh dipublisitikan semua perkara," ujarnya.

Tun Dr Mahathir sebelum ini berkata, laporan CEP mungkin tidak didedahkan kepada orang ramai.

Ia berikutan tugas yang diamanahkan kepada CEP ialah membuat penyelidikan dan kemudian melaporkan dapatan tersebut kepada beliau.