Perebutan bilik bagi mesyuarat pertemuan anggota parlimen daripada kedua-dua parti, berhubung kontroversi firma pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dibawa ke laman sosial oleh beberapa ahli Parlimen, hari ini.

Pengarah Komunikasi Keadilan, Fahmil Fadzil pada mulanya berkata bahawa mereka dihalang masuk ke bilik mesyuarat kerana tempahan bilik tersebut telah dibatalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan.


Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kemudian menafikan dakwaan tersebut dengan menegaskan bahawa mana-mana kementerian tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan tempahan bilik di Parlimen.


Bukan sahaja itu, Fahmil Fadzil kemudian memuat naik sebuah video dengan menulis “Bilik Taklimat yang sudah ditempah Felo Perdana Kementerian Belia & Sukan. Kosong, berkunci, tiada aktiviti.”



Cerita tersebut tidak tamat di situ. Perbalahan itu pula dibalas oleh Menteri Belia dan Sukan yang meminta Fahmil untuk mendapatkan penjelasan daripada Parlimen, dan bukannya mereka.


Menurut Khairy, Felo Perdana tidak menggunakan bilik Parlimen hari ini dan mereka juga tidak merancang untuk menggunakannya.

Malah, beliau turut menjelaskan bahawa Felo Perdana kini sedang menjalani orientasi di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras dalam satu kenyataan Twitter.


Isu tersebut menjadi lebih hangat apabila turut dicampuri oleh pihak ketiga seperti Zarakahan, Ong Kian Ming dan Saifuddin Abdullah.

Ahli Parlimen Serdang turut menyoal pegawai khas Khairy, Zarakahan dan bekas ahli parlimen Temerloh, Saifuddin Abdullah jika kenyataan tempahan itu digunakan sebagai satu alasan oleh pihak Parlimen untuk menghalang mereka memasuki bilik tersebut.


Saifuddin dan Zarakahan turut membalas kenyataan tersebut dengan meminta mereka mendapatkan penjelasan daripada pihak Parlimen.



Terdahulu, kumpulan pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini mengadakan perhimpunan di padang kawad bangunan Parlimen bagi membincangkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana dihalang memasuki bilik mesyuarat oleh pihak Parlimen.

Perhimpunan tersebut dipimpin oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah dan turut disertai Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.