SERI KEMBANGAN, Selangor terletak sejauh 20 kilometer ke arah selatan Kuala Lumpur dan hanya 20 minit dari Putrajaya, pusat pentadbiran Malaysia yang menonjol.

Enam puluh tahun lalu, kawasan ini dipenuhi dengan tumbuhan-tumbuhan renek yang sesetengahnya dilapangkan untuk membuka ruang bagi perlombongan tin, penanaman getah dan pasar sayur-sayuran kecil. Kawasan ini kebanyakannya diduduki oleh kaum Cina beretnik Hakka – keturunan yang telah berhijrah dari Selatan China. Sudah menjadi lumrah hidup bagi etnik ini untuk mendirikan masyarakat di kawasan pinggiran.

Pada awal 1950-an, kebanyakan penduduk di sini telah diusir masuk ke perkampungan yang digelar “Kampung Baru” – seperti Sekinchan atau Jinjang – ketika pihak berkuasa penjajahan British berusaha untuk membendung pemberontakan komunis yang terus mendesak.

Kawasan ini yang dahulunya tandus, telah ditransformasi kepada kawasan hartanah yang lumayan. Terdapat kompleks sukan Komanwel yang berikonik, gelanggang perlumbaan kuda, sebuah bangunan aneh yang dibina pada zaman pentadbiran Dr Mahathir iaitu Hotel “Palace of the Golden Horses” dan ratusan kilang-kilang sederhana, pekan-pekan, pusat membeli-belah dan kawasan perumahan.

Pasangan muda ini belum mempertimbangkan secara serius untuk berhijrah kerana hubungan rapat dengan keluarga dan budaya di Malaysia. - Foto Karim Raslan

Dengan perayaan Tahun Baru Cina yang semakin hampir, saya telah meluangkan masa untuk mengenali satu keluarga Malaysia beretnik Cina yang muda bagi lebih memahami perasaan mereka mengenai Tahun Ayam yang bakal menjelma.

Sememangnya, hasil kajian selidik yang terkini agak merisaukan. Malah kajian ‘Asian Strategy and Leadership Insititute’ (ASLI) menunjukkan bahawa jumlah kaum Cina kian merosot.

Pada tahun 1957, rakyat Malaysia beretnik Cina telah merangkumi 37.2% daripada jumlah kesuluruhan populasi Malaysia. Mengikut pendapat ASLI, jumlah itu mungkin berkurangan sehingga sekadar 19.6% pada 2030 jika pola penghijrahan keluar kumpulan ini daripada negara ini tidak berubah. Lebih-lebih lagi, hasil kaji selidik Bank Dunia mendapati seramai 57% daripada warganegara rakyat Malaysia beretnik Cina yang berhijrah keluar telah memilih Singapura sebagai destinasi pilihan.

Steven Chan merupakan Pengurus Besar dalam bisnes keluarganya, MSM Group. Sebagai jurutera mekanikal berpengalaman, beliau kini menjalankan operasi kilang besi keluarganya di Balakong. - Foto Karim Raslan

Charlyn Lee dan Steven Chan – yang kedua-duanya berusia sekitar 30 puluh tahun, telah mendirikan rumah tangga bersama dua anak perempuan kecil mereka di rumah berkembar di sebuah kawasan perumahan yang tenang dan jauh dari hiruk-pikuk kehidupan seharian. Mereka selesa tinggal di kawasan yang dijaga rapi oleh pengawal keselamatan, yang turut terletak bersebelahan kediaman ibu bapa Steven yang dihubungkan dengan rumah melalui tingkat pertama.

Charlyn – anak kelahiran negeri Melaka – sangat teruja untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina. Berasal dari keluarga yang besar, beliau seronok dengan penyatuan semula serta peluang bagi anak-anaknya untuk mendalami budaya mereka – dari tarian singa ke penerimaan angpau.

Steven pula mengurus sebuah perniagaan fabrikasi keluli berjaya yang mengeksport lebih 50% daripada hasil pengeluarannya.

Bisnes keluarga Steven di Balakong mula bertapak sejak 15 tahun lalu. - Foto Karim Raslan

Beliau cukup sedar akan rezeki baiknya, terutamanya apabila mengakui keadaan ekonomi semasa - dengan kemerosotan nilai Ringgit dan permintaan tempatan yang semakin lemah – tidak memberi kesan besar terhadap perniagaanya.

“Malaysia tetap merupakan tempat terbaik di rantau ini untuk sebarang pembuatan. Malah, kos di sini berpatutan dan efisien. Di negara lain, terlampau ramai campurtangan ‘ahli politik’”. Bagi Steven, istilah “ahli politik” sebagai huraian ringkas untuk sebarang campur tangan yang berlebihan dalam birokrasi.

Kafe Le Gardenz di hadapan kilang MSM bertindak sebagai ruang pamer hasil produk kilang tersebut. - Foto Karim Raslan.

Seperti ahli-ahli perniagaan yang lain, beliau tidak minat terhadap ketidaktentuan politik dan tegas berkata: “Ahli politik kita patut mengadakan pilihan raya secepat mungkin raya supaya kita boleh meneruskan kerja kita”.

Steven cukup bangga dengan keturunan Hakka-nya: “Bapa saya sentiasa memastikan anak-anaknya tidak melupakan kepentingan memiliki jiwa yang bebas dan iltizam yang tinggi.” Kebetulannya, ibu Charlyn turut beketurunan Hakka.

Beliau sentiasa menggunakan rangkaian Hakka di Balakong untuk mengeratkan silaturahim bersama jiran-jirannya; terutamanya dalam pengambilan pekerja serta menyempurnakan perniagaan dengan etos keluarga dan masyarakat yang kuat.

Zo Yee, 5, ialah anak sulung pasangan Charlyn dan Steven. - Foto Karim Raslan

Walau bagaimanapun, keyakinan yang dipacu oleh pasangan tersebut berubah apabila perbincangan kami beralih kepada isu-isu jenayah. Sudah pasti, soal perundangan dan ketenteraman merupakan masalah pokok bagi mereka – isu yang boleh menjadi pendorong untuk mereka berpindah ke kawasan perumahan lain. Dengan adanya dua anak, mereka tidak sanggup mengambil sebarang risiko.

Sepertimana Steven memberitahu saya: “Kami menyumbang RM150 ke RM200 sebulan kepada anggota keselamatan tempatan untuk memastikan anak-anak perempuan kami selamat.

“Saya sendiri akan menghantar Zo Yee ke sekolah tadika dan mengambilnya setiap hari. Malih, tadika-tadika di kawasan ini telah mengenalkan prosedur yang ketat sehinggakan kanak-kanak tidak dibenarkan untuk bermain di kawasan jalan raya.”, Charlyn berkata.

Walaupun menonjolkan ciri-ciri konvensional sebuah keluarga Malaysia beretnik Cina, Charlyn yang berpendidikan Mandarin dan telah menuntut selama dua tahun di Universiti Nanjing, tidak begitu minat dengan sistem pendidikan yang mencorakkan hidupnya.

“Sistem pada masa kini terlalu menumpukan teknik hafalan. Saya mahu anak-anak saya belajar melalui permainan dan meluangkan masa di luar rumah. Hidup mereka tidak boleh hanya setakat menumpukan pelajaran sahaja," ujarnya.

Malah, Charlyn telah menukar kursus ijazah beliau ke bidang undang-undang dan berpindah ke Universiti Leeds, dimana beliau berasa lebih bahagia.

Namun, pengalaman ini menjadi pahit apabila beliau tidak dibenarkan untuk menjadi peguam yang aktif oleh kerana pihak berkuasa enggan menerima kelayakan pendidikan beliau.

“Saya membuat rayuan sebanyak tiga kali. Saya rasa tidak adil apabila mereka telah menolak sikil UEC saya – yang merupakan diploma dari dari Sekolah Menengah Cina swasta saya.”

Charlyn Lee mahu menghantar anaknya belajar di sekolah antarabangsa supaya dapat menikmati pendidikan holistik. - Foto Karim Raslan

Walau bagaimanapun, Charlyn masih tidak memandang negara China melalui kanta yang terlalu positif: “Saya berpendapat bahawa para pelajar di Nanjing terlalu taksub dengan pelajaran mereka. Setelah bekerja keras untuk memasuki salah satu daripada universiti yang terkenal di China, mereka tidak berminat untuk melibatkan diri mereka dalam perkara lain. Tambahan pula, disebabkan 'dasar satu anak', ini telah menyebabkan kebanyakan daripada mereka untuk bersikap terlalu agresif dan manja. Kita di Malaysia berbeza daripada mereka.”

Walaupun Steven dan Charlyn kini bimbang terhadap kemungkinan pengenalan hukum Syariah terhadap kaum yang tidak beragama Islam, mereka cukup optimistik terhadap keadaan perhubungan kaum yang sentiasa teruji di Malaysia: “Isu-isu perkauman yang dibangkit ini hanya sekadar permainan politik. Tetapi di akar umbi, saya percaya bahawa rakyat Malaysia boleh hidup secara harmoni tanpa mengira perbezaan kaum”.

Dalam era globalisasi ini, pengalaman Steven dan Charlyn tetap mendedahkan dinamik pengalaman kaum Cina di Asia Tenggara yang cukup rumit – yang mampu menyesuaikan diri dengan konteks sosial, kebudayaan dan pendidikan yang pelbagai di rantau ini. Oleh itu, meskipun Steven dan Charlyn berpegang kuat kepada identiti Hakka mereka, mereka tidak takut dengan prospek perubahan.

Malah, kalau pembelajaran melalui “permainan” dalam bahasa Inggeris lebih bermanfaat bagi pembangunan jangka panjang anak-anak mereka, maka itulah perjalanan yang mereka akan pilih.

Akhirnya, Charlyn dengan ketegasan kebudayaan Hakka beliau mengatakan: “Tidak pernah terlintas fikiran untuk berhijrah dari Malaysia. Tanah tumpah darah keluarga kami terletak di sini.”