JHENNIS Mintjelungan yang berusia tiga puluh tahun dan beretnik Minahasan, bekerja sebagai seorang penyambut tetamu hotel di Sorong, pintu masuk ke kepulauan Raja Ampat – yang diisytihar “pulau paling indah di dunia” oleh Conde Nast Traveller.

Dia mengharapkan jumlah kedatangan pelancong yang pada hari ini hanya kecil, akan meningkat secara mendadak, lantas merangsang pembangunan ekonomi tempatan di kawasan yang terletak di penghujung barat Papua ini.

Pada masa yang sama, di persisiran Danau Toba di Sumatera Utara (yang terletak 3649 kilometer dari Sorong), Bona Pana Parlindungan, seorang pemandu pelancong yang berusia lima puluh empat tahun, turut berdoa untuk kedatangan lebih ramai pelancong asing.

Pemandu pelancong, Bona Pana Parlindungan, 54, mengharapkan kedatangan lebih ramai pelancong asing ke Sumatera Utara. Foto Karim Raslan

Dengan lapangan terbang yang baru dinaik taraf di Silangit serta penerbangan langsung ke Jakarta, kemungkinan besar bahawa kawasan tasik kaldera yang terbesar di dunia ini akan menjadi lebih sibuk.

Tentunya, sektor pelancongan di Asia Tenggara sedang berkembang secara pesat: pada tahun 2014, sektor ini telah menyumbang sebanyak USD117.9 bilion (atau 4.8%) kepada KDNK rantau ini. Menjelang 2025, sumbangan ini bakal meningkat kepada USD209.4 bilion (atau 4.9%) – malah, Asia Tenggara sudah muncul sebagai rantau yang kedua di dunia dari segi kepesatan perkembangan sektor pelancongannya, di belakang rantau Asia Selatan.

Malah, kemunculan tren global yang lebih cenderung kepada aspek pengembaraan telah mencetus minat yang lebih besar terhadap destinasi yang tidak begitu dikenali di rantau ini.

Tetapi, apakah langkah yang perlu diambil oleh pemimpin tempatan untuk menjana potensi sektor ini dengan lumrahnya yang kemungkinan tidak mampan? Apakah ramuan yang diperlukan untuk menarik kemasukan pelancong lantas mengekalkan minat mereka?

Saya mencadangkan bahawa penggubal dasar mereka mengambil iktibar daripada kejayaan sebuah negeri di Malaysia Timur – Sabah.

Dengan jumlah kemasukan pelancong seramai 3.4 juta pada tahun 2016 (dan lebih 1 juta dari China sendiri) Sabah telah muncul sebagai salah satu daripada destinasi eko-pelancongan dan pengembaraan yang paling unggul di rantau Asia.

Sememangnya, kombinasi tarikan seperti Gunung Kinabalu (gunung tertinggi di Asia Tenggara), kawasan menyelamnya yang tidak terbilang dan kawasan hutan terpeliharanya, telah membantu negeri ini.

Tambahan pula, syarikat penerbangan tambang murah AirAsia turut telah memainkan peranan yang penting – dalam mendorong penurunan tambang penerbangan serta penambahan kapasiti penumpang.

Namun yang demikian, dahulu, nasib negeri Sabah tidak sedemikian. Malah, dua puluh lima tahun lepas, negeri tersebut telah berhadapan dengan dilema ekonomi.

Buat berdekad lamanya, ahli perniagaan tempatan telah menumpukan usaha mereka terhadap industri yang bersifat ekstrakftif: pembalakkan hutan negeri ini yang cukup kaya.

Namun, menjelang awal 1990-an, jelas bahawa amalan industri ini tidak mampu dikekalkan.

MASIDI: Kerja kita dipermudahkan kerana seluruh gerak kerja Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar terletak di bawah satu bumbung Kementerian yang sama. Foto sayangsabah.com

Datuk Masidi Manjun, bekas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri ini, dengan optimis berkata: “Pada ketika itu, tidak sukar untuk meyakinkan warga Sabah bahawa pemeliharaan hutan merupakan masa depan kita. Malah, rakyat Sabah mempunyai pegangan yang cukup kuat kepada alam sekitar.”

“Tentunya, kerja kita dipermudahkan kerana seluruh gerak kerja Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar terletak di bawah satu bumbung Kementerian yang sama. Ini bermakna bahawa kami mampu menggubal dan menyelaraskan dasar yang betul, lantas memastikan bahawa semua pemegang taruh (termasuklah sektor swasta) mampu bergerak ke arah yang sama.”

“Warga Sabah cukup berbangga akan warisan kebudayaan mereka. Malah ini merupakan nilai yang telah diajar dan diterapkan dari bangku sekolah. Kita merupakan masyarakat yang dengan budaya dan agama yang pelbagai. Oleh itu, Kerajaan Negeri sering berusaha untuk memastikan bahawa budaya tempatan kita terus berkembang maju.”

Jacqueline Jimin, seorang professional muda beretnik Murut yang bekerja di bidang pemasaran dan berusia dua puluh sembilan tahun cukup optimis. Setelah menamatkan pengajian dan bekerja buat beberapa tahun di Kuala Lumpur, dia telah mampu kembali ke Sabah pada tahun 2010 setelah menemui pekerjaan yang membayar gaji yang setimpal: “Saya kembali untuk menjaga ibu saya yang sakit ketika itu. Ekonomi tempatan sekarang lebih berkepelbagaian. Malah, ledakan sektor pelancongan telah membuka lebih banyak peluang. Semuanya lebih ‘mantap dan maju’”

Danau Toba, salah satu destinasi pelancongan di Sumatera Utara. Foto Karim Raslan

Namun ada beberapa pihak yang berwaspada. Asgari Stephens, yang bertapak di Kuala Lumpur tetapi dilahirkan di Sabah, seorang pelabur ekuiti swasta, menekankan keperluan untuk menaik taraf keupayaan pekerja tempatan: "Kita perlu menaikkan taraf, menambah baik skima latihan dan berusaha untuk bersaing dengan Bali dan Phuket. Pelancongan skala besar dari China tidak semestinnya menguntungkan.”

Datuk Masidi turut bersetuju: ”Tidak wajar kalau tumpuan kita hanya terletak kepada jumlah pelancong semata-mata. Ini tidak memberi gambaran yang mencukupi. Kita harus memastikan bahawa rakyat biasa turut mendapat manfaat: restoran-restoran tempatan, homestay, pengusaha kraf, malah, peniaga yang menjual aiskrim buatan sendiri.”

“Adalah sangat mustahak bagi kita untuk menggalakkan rakyat tempatan untuk memelihara keindahan alam sekitar kita - untuk memastikan segalanya kekal indah supaya kita boleh memanfaatkan kawasan tarikan pelancong ini. Tambahan pula, memandangkan bahawa sektor eko-pelancongan cukup penting, pemeliharannya haruslah menjadi antara tunjang utama agenda pembangungan kerajaan.”

Menurut Datuk Masidi: “Setiap tahun, kerajaan menambahkan kawasan hutan simpanan kami. Pertubuhan Antarabangsa Pemeliharan Alam Semula Jadi meletakkan syarat bahawa 10% tanah harus dijadikan Kawasan Dilindungi Sepenuhnya (TPA). Kini, Sabah telah menggazetkan sebanyak 23% tanah sebagai TPA dan ini bakal dibesarkan kepada 30% menjelang tahun 2025.

Ini bukanlah bermaksud bahawa semuanya berjalan lancar. Mutakhir ini, kontroversi berkenaan Jambatan Sukau di Kinabatangan yang bernilai RM223 juta (yang dikatakan membahayakan hidupan liar), membangkitkan dilema antara pemeliharaan dan pembangunan ekonomi.

Gunung Kinabalu tertinggi di Asia Tenggara pada 4,095 m. Foto sabahtourism.com

Lebih-lebih lagi, isu keselamatan yang sedang berlangsung di bahagian timur Sabah turut menyebabkan penurunan jumlah pengunjung di Sandakan yang merupakan hab eko-pelancongan yang penting.

Apa yang jelas daripada pengalaman negeri Sabah adalah sektor pelancongan yanghebat bukanlah sesuatu yang boleh diwujudkan melalui penggubalan undang-undang semata-mata.

Sebaliknya, penjanaan sektor ini adalah proses yang mengambil jangka masa yang panjang: dengan membina kepercayaan, melatih pemberi perkhidmatan dan mengekalkan taraf dan kualiti – yang memerlukan kesabaran serta penglibatan pemegang taruh yang pelbagai.

Tetapi berita yang baik adalah kawasan yang dulunya kurang dikenali mampu muncul sebagai destinasi yang hangat: lihat saja bagaimana Pulau Palawan di Filipina dengan lautannya yang indah telah muncul sebagai sensasi internet.

Oleh itu, sementara pemimpin tempatan berusaha untuk mengembangkan portfolio pelancongan mereka, sangat wajar kalau mereka mengambil iktibar daripada “Negeri di bawah Bayu” untuk mendapat inspirasi dan tips untuk menjana sektor yang bernilai berbilion-biliion.