Tutup

Ceritalah ASEAN: Sejarawan - Arkitek memori yang kita kongsi bersama

Ceritalah ASEAN: Sejarawan - Arkitek memori yang kita kongsi bersama
Professor Dr Khoo Kay Kim merupakan pelindung dan arkitek kepada sejarah perjalanan hidup negara kita, Malaysia. Foto www.remaja.my/Ceritalah
SEJARAWAN berurusan dengan perkara yang sudah berlalu. Sebagai arkitek memori kolektif kita; mereka merekod, mendokumen dan memelihara. Sejarah tidak akan boleh menjadi objektif kerana seperti apa saja bentuk penceritaan, akan sentiasa ada seorang penulis atau pengkisah yang memilih, mengedit dan menggubah bahan sumber. Maka, kecenderungan untuk terjadinya berat sebelah, adalah sesuatu yang dijangka. Yang terbaik yang kita mampu lakukan adalah, sedar tentang kewujudannya.

Kebanyakan sejarawan kekal di dalam ruang lingkup akademik. Minat mereka selalunya esoterik dan tidak jelas. Sebilangan kecil daripada golongan ini memasuki ruangan umum - untuk mempengaruhi dan membentuk pandangan popular - menarik lebih banyak kesimpulan umum daripada penyelidikan berasaskan tumpuan sempit mereka. Tidak semua berjaya dan banyak terjejas kerana kekurangan hujah mereka - sama ada bermoral atau tidak.

Bagi negara-negara bangsa baharu - khususnya di Asia Tenggara - suatu meta-naratif di sebaliknya adalah kritikal, terutama jika tema yang luas dan besar ini boleh menyatukan penduduk yang terbahagi berdasarkan kaum, agama atau geografi.

Bagi menggubah meta-naratif ini, sesuatu yang membantu sekiranya anda adalah seorang sejarawan yang mempunyai minat luas. Bagi Malaysia, sejarawan Universiti Malaya, mendiang Profesor Dr Khoo Kay Kim adalah orangnya. Beliau mengambil peranan awamnya secara amat serius. Beliau merupakan pelindung dan juga arkitek perjalanan negara Malaysia yang kita kongsi bersama - membantu menggubal Rukunegara (Prinsip-prinsip Nasional kita), yang bersamaan dengan Pancasila, iaitu ideologi negara Indonesia, di mana beliau menggunakan pengetahuan mendalamnya mengenai akar umbi sejarah negara bagi mengukuhkan kosmopolitanisme dan sifat inklusif kita.

Pun begitu, mereka yang gagal mengambil pengajaran dari sejarah, mungkin akan mengulanginya. 

Ambeth Ocampo berjaya menghidupkan elemen kemanusiaan dalam watak Jose Rizal menerusi karyanya, 'Without the Overcoat'. Pasukan Ceritalah

Brexit adalah satu contoh kes yang membuktikan perkara ini, dengan pihak British mengundang bencana kerana mereka enggan akur pada perkara yang telah lalu. Keseluruhan "projek Kesatuan Eropah (EU)" adalah sentiasa mengenai usaha menghalang berulangnya peperangan di benua itu. Mengikut pemikiran ahistorikal, pada asasnya, penolakan terhadap pengajaran dari masa lalu bermakna ahli-ahli politik (mereka bukan pemimpin) seperti Nigel Farage dan Boris Johnson berdepan risiko mengembalikan kekejaman Perang Dunia Pertama dan Kedua.

Maka sejarah dan sejarawan adalah penting. Bagaimanapun, mereka perlu melangkau ruang lingkup akademia dan mampu menyuntik pertimbangan yang baik dan perspektif yang lebih luas (sebahagian daripada meta-naratif yang saya perkatakan) ke dalam kehidupan seharian kita.
Anehnya, terdapat juga banyak "sejarawan" yang bukan profesional seperti pelukis, penyanyi, pembikin filem, penulis komik dan penyiar YouTube - yang berurusan dengan perkara-perkara lepas. Mereka kini jadi lebih penting memandangkan keadaan yang menyedihkan di universiti kita yang dikuasai kerajaan. 

Buku pertama diterbitkan PJ Thum, 'New Naratif' merupakan seleksi rencana, penulisan penyelidikan dan komik. Foto www.goodreads.com

Saya telah mengumpulkan beberapa nama yang saya akan cadangkan pada sesiapa yang berminat terhadap sejarah Asia Tenggara.

Sebagai pemulaan, saya peminat tegar penulis Filipina, Ambeth Ocampo, yang tulisannya di akhbar telah menghidupkan wira kemerdekaan republik itu - Jose Rizal dan Andres Bonifacio. Tulisannya juga mengingatkan kita bahawa sejarah boleh menjadi sesuatu yang menyeronokkan. Menjadi hambar dan membosankan tidak ada gunanya langsung. 

Karya Sonny Liew, 'The Art of Charlie Chan Hock Chye'. Foto Epigram Books

Buku Thongchai Winichakul bertajuk "Siam Mapped" (Siam Dipetakan) merupakan satu pencapaian. Beliau membandingkan dan membezakan antara pandangan Barat dan Thai mengenai kuasa, geografi dan budaya bila mana beliau menumpukannya dalam satu perbincangan tentang apa yang dimaksudkan dengan menjadi seorang "Thai" -- terutamanya di daerah sempadan negara itu yang tidak jelas.

Sebagai seorang aktivis pelajar yang dapat melepaskan diri daripada pembunuhan beramai-ramai di Universiti Thammasat pada 1976, Thongchai juga mewakili suara haluan kiri -- suatu perspektif utama yang telah disingkirkan, jika tidak pun dihapuskan, dari sebahagian besar memori sejarah Asia Tenggara.

Karya Thant Myint-U, 'The Making of Modern Burma' memperincikan bagaimana penjajah British menghapuskan golongan elit Burma. Foto www.lostfootsteps.org

Syukurlah, ahli akademik Singapura, Thum Ping Tjin (PJ Thum) dilihat bersedia untuk membetulkan ketidakseimbangan ketara ini dengan inisiatif kewartawanan serantaunya, New Naratif. Hakikat bahawa penulis dan pelukis komik, Sonny Liew juga terlibat (beliau menulis rencana panjang anti-PAP yang luar biasa, "The Art of Charlie Chan Hock Chye") bermakna karyanya itu juga akan diperhati secara dekat.

Anehnya, tulisan sejarah paling hebat dari Indonesia adalah dalam bentuk fiksyen. Pembunuhan anti-komunis pada 1965 membisukan beberapa generasi sejarawan, menjadikan novelis Pramoedya Ananta Toer dengan tulisannya bertajuk "Quartet Buru" sebagai hati nurani Republik itu, tambahan pula beliau merupakan pembela tegar DNA negaranya.

Karya penulis Myanmar, Thant Myint-U, yang paling kurang dikenali, "The Making of Modern Burma" (Pembentukan Burma Moden) merupakan hasil kerja beliau yang paling penting. Pengkisahan yang menyukarkan dan menyakitkan ini, mengenai usaha orang Burma yang akhirnya gagal untuk mempertahankan kebebasan mereka dalam berdepan dengan peluasan kolonial British, adalah penting bagi sesiapa yang hendak memahami xenofobia yang berakar mendalam di negara itu. Di Malaya, British memilih elit tradisi. Di Myanmar, golongan ini dimusnahkan hingga mendatangkan kesan dahsyat.


Ho Chi Minh – Scarlet Pimpernel bagi abad ke-19. Pasukan Ceritalah

Memoir Profesor Wang Gungwu "Home is Not Here" (Kediaman Bukanlah di Sini) adalah pedih dan mendalam. Ia adalah salah satu daripada panduan terbaik tentang apa maknanya menjadi seorang China dan warga Asia Tenggara ketika "penyinggah" sementara pada 1930-an dan 1940-an menjadi pemastautin, dan kemudiannya, warganegara.

Saya mesti menyertakan buku William J. Duiker bertajuk "Ho Chi Minh: A Life" (Ho Chi Minh: Suatu Kehidupan). Pemimpin Vietnam yang terkenal itu -- beliau mengalahkan tentera Perancis, Amerika dan China - menjalani kehidupan yang menakjubkan. Beliau adalah Scarlet Pimpernel bagi abad ke-19, menjelajah dunia dengan diekori oleh para pengintip dan perisik. Seorang yang menganggap dirinya pertama sebagai patriot dan nasionalis, Ho menganut komunisme hanya sebagai pilihan terakhir.

Akhirnya, saya perlu menutup dengan penyiar YouTube, Michael Rogge yang salurannya (mengandungi filem-filem tahun 1950-an dari Hong Kong dan Jepun dan rakaman yang dibuat bapanya dari Indonesia ketika zaman sebelum perang), merupakan satu tingkap yang menakjubkan kepada kehidupan di masa lampau. Kehidupan digital telah menjadikan filem dan video sebagai suatu yang dapat diperoleh di mana-mana. Saluran Rogge (dan beberapa saluran lain) membawa masa lalu kepada masa kini dengan serta-merta - suatu yang jarang berlaku. 



Seperti yang saya katakan di awal tadi, para sejarawan adalah arkitek dan pelindung masa lalu.

Dengan kemunculan teknologi baru, penceritaan secara visual menjadi komponen yang semakin besar dalam memori itu. 

Video MichaelRogge di YouTube banyak memaparkan kehidupan pada masa lampau, antaranya klip ini yang menunjukkan keadaan di Hong Kong pada 1953. Saluran YouTube MichaelRogge


* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.