SAYA ada berita untuk anda. Tetapi duduklah dulu, saya tidak mahu anda pengsan. Dihujahkan bahawa terdapat "dua" koronavirus di luar sana. Dua, bukan satu: dan yang kedua boleh mengubah orang dewasa untuk menjadi bodoh -- mari kita memanggilnya "strain moron".

Tetapi pertamanya, selesema itu sendiri, iaitu "koronavirus novel" yang muncul dari Wuhan di China dan boleh mengakibatkan kematian -- sekitar 2% daripada mereka yang dijangkiti pada masa saya menulis ini. Sefaham saya, simptom-simptomnya adalah seperti yang ada pada selesema biasa; demam, batuk dan sesak nafas. Tetapi dalam senario kes paling buruk, ia boleh membawa kepada radang paru-paru dan gangguan pernafasan akut.

Begitu juga, apa yang saya panggil sebagai "strain moron" telah mewujudkan suatu panik global pacuan media sosial yang selanjutnya memakan dirinya sendiri. Pada asasnya, ia adalah seolah-olah satu juta zombi bersenjatakan telefon pintar menjangkiti puluhan lagi orang setiap nanosaat.

Mutasi ini membuktikan bahawa ia adalah lebih buruk daripada yang asal. Ia juga selamanya sukar bagi kerajaan untuk menanganinya.

Orang matang dan cerdik kelihatan meninjau mesej-mesej pelik Facebook, Twitter dan WhatsApp hanya untuk menekan butang Suka, Ciapan Semula dan Majukan dengan serta-merta.

Sekumpulan pelancong China memakai topeng penutup muka di Kuil Erawan, sebuah lokasi pelancongan yang popular di Bangkok, 27 Jan, 2020. Foto Getty Images / Ceritalah

Perkara sama berlaku dengan Line, WeChat, Telegram dan TikTok. Jangan palingkan muka kerana saya pasti anda turut melakukan perkara yang sama juga.

Perlu diingat bahawa sindrom pernafasan akut teruk (SARS) 2002-2003 berlaku (juga bermula di Asia) sebelum zaman media sosial. Maklumat yang kita peroleh mengenai SARS pada umumnya adalah melalui media konvensional arus perdana.

Pada masa lalu, negara perlu menangani krisis-krisis dan menguruskan kesan reputasi politik dan ekonomi.

Hari ini, terdapat juga keperluan untuk menangani virus mutan kedua -- ketika masa jam bekerja berharga dihabiskan dengan menafikan lambakan berita palsu, cerita-cerita lama yang dipakej semula dan hoaks jelas yang pastinya mengekori peristiwa-peristiwa global.

Dan percayalah pada saya, terdapat banyak daripada yang ada hubungan dengan koronavirus -- orang Asia juga menunjukkan bahawa mereka mudah terkena virus kedua ini seperti mana kawan-kawan Amerika dan Eropah mereka.

[LAPOR LANGSUNG] Koronavirus ragut lebih 300 nyawa


Petugas kesihatan mengendalikan pesakit disyaki dijangkiti koronavirus baru di Wuhan, China. Foto Agence France-Presse/Ceritalah

Terdapat pos media sosial mendakwa warga negara China melarikan diri mereka dan memasuki Thailand. Kementerian Kesihatan Malaysia terpaksa menggeluarkan sepucuk Tweet menafikan bahawa penghidap memaparkan tingkah laku "seperti zombi."

Sebuah video tular mendakwa seorang wanita China menikmati "sup kelawar" yang terkenal (yang dipersalahkan sebagai punca penyebaran virus) adalah sebenarnya diambil beberapa tahun lalu (pada 2016) di luar China.

Bagaimanapun, posting mengarut dan tidak bertanggungjawab seperti itu dikongsi ribuan kali.

Antaranya amat pedih dan jelas rasis (selalunya anti-China).



Mengapakah mereka menyebarkannya dengan cepat dan mengapa orang kelihatannya percayakannya dengan mudah?

Mungkin ia adalah kerana mereka selalu memperjelaskan -- dan memperpanjangkannya -- keresahan jangka panjang dalam masyarakat kita.

Thailand, Filipina dan Malaysia mempunyai hubungan berselirat dengan China. Lagipun, minoriti etnik Cina juga menghadapi cabaran mereka sendiri. Koronavirus dihujahkan timbul semula tetapi ia juga mengherotkan keprihatinan ini.

Mediumnya juga memberi kesan.

Koronavirus yang baru ini memiliki persamaan rantaian genetik hingga 87 peratus dengan dua koronavirus yang ditemukan pada kelawar. Namun, asal-usul 2019-nCoV masih belum diketahui. Foto Zhu et al/NEJM 2020, Massachusetts Medical Society/Ceritalah

Dengan aplikasi mesej serta-merta seperti WhatsApp, anda boleh berkongsi apa saja, dengan serta-merta dan di mana-mana kepada sesiapa -- termasuk bahan penarik perhatian seperti gambar, audio dan video.

Siapakah yang ada masa dan pertimbangan umum pada masa ini untuk menyemak kesahihan bahan-bahan ini?

Bagaimana pula dengan media arus perdana? Tidakkah mereka juga mempunyai peranan untuk dimainkan?

Pada masa lalu, akhbar, televisyen dan stesen radio nasional boleh mengawal naratif. Bagaimanapun, kisah berita yang betul-betul dikaji dan disemak fakta adalah mahal. Mereka memerlukan bilik-bilik berita penuh dengan wartawan terlatih dan editor.

Sedihnya, media arus perdana telah cedera parah akibat kebangkitan media sosial yang tidak mampu lagi dihalang. Satu minggu jarang berlalu tanpa laporan satu lagi pertubuhan berita yang memotong perbelanjaan ataupun ditutup.

Ini kerana, perkara mengarut dan membawa padah buruk seringkali menjana lebih banyak ciapan semula dan majukan.

Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha mengunjungi kaunter pemeriksaan kesihatan penumpang di lapangan terbang Suvarnabhumi, Bangkok. Foto EPA-EFE/Ceritalah

Ada kalanya laporan serius dan bertanggungjawab boleh ditular. Tetapi mereka selalunya terlalu tidak menarik berbanding gambar Facebook dan video YouTube.

Lebih kerap daripada tidak, kita berkongsi bahan-bahan ini untuk sama ada bagi mengesahkan (atau selalunya) menafikan pos tular yang dikongsikan oleh ahli keluarga dan kawan.

Mungkin itulah masa depan media arus perdana; sentiasa defensif. Ia adalah jauh bezanya pada zaman di mana akhbar boleh melancarkan kempen dan membentuk apa yang orang ramai fikir.

Segmen di kalangan akhbar tidak melakukan apa yang baik untuk diri mereka sendiri dengan kelihatan tunduk pada iklim ketakutan: tunduk pada tajuk besar dan kapsyen yang bersifat clickbait.

Tidak seperti bagaimana liputan SARS dibuat dua dekad lalu, permulaan panik masa kini menunjukkan bahawa secara relatifnya sedikit pelaporan yang baik -- yang akses pada awam -- mengenai apa dia koranovirus dan bagaimana kekal selamat.

Asal usul koronavirus masih jadi spekulasi. Satu video tular yang menunjukkan seorang wanita China sedang menikmati sup kelawar (yang disyaki penyebab penyebaran virus) sebenarnya dirakam beberapa tahun lalu (pada 2016) dan kejadian berlaku di luar China. Foto Alamy Stock/Ceritalah

Apa yang ada ialah banyak suasana menakutkan mengenai mengapa kita perlu takut. Maka tidak hairan mengapa orang memilih media sosial?

Jadi bagaimanakah kita harus melangkah ke depan?

Penapisan jarang berkesan. Menganggap semuanya berada keadaan baik akan memberi kesan buruk -- lihatlah bagaimana marahnya penduduk Wuhan apabila mereka berasa ditipu sejak dari awal lagi.

Pendidikan boleh membantu: orang -- dari semua usia -- perlu lebih teliti terhadap berita dan maklumat. Bagaimana ia dibentuk, diguna dan disalah guna.

Tetapi kadangkala, ia hanya persoalan tentang tenaga.

Orang ramai yang prihatin terhadap kebenaran mungkin perlu proaktif dalam berkongsi berita tepat seperti mana penyebar khabar angin dan penyebar ketakutan di atas talian pada hari ini.

Kandungan seumpama itu juga perlu kena pada waktunya dan suka atau tidak, mempunyai potensi untuk ditular.

Wabak Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS) pada 2003 adalah disebabkan oleh sejenis koronavirus yang berbeza (SARS-CoV). Foto Michael Ng/Ceritalah

Ia adalah memenatkan, pergelutan yang tidak berkesudahan --- tetapi itulah realiti hidup kita pada hari-hari ini.

Penggubal dasar, pembentuk pandangan, sama ada awam atau korporat mesti sedar bahawa krisis perlu ditangani secara asimetri.

Kita selama ini berebut wilayah. Kini pertempurannya adalah berebut tempoh perhatian.

"Perang media sosial" adalah hanya satu lagi tambahan medan yang perlu diperjuangkan, ia juga -- dan mungkin sudah berlangsung -_ merupakan paling penting dan "perlu dimenangi."

Saya pasti koronavirus akan dapat dikawal tidak lama lagi. Tetapi merawat "strain moron" adalah malangnya mengambil banyak masa dan usaha.




* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.