Tutup

Ceritalah: Setahun berlalu, Pakatan Harapan bergelut dengan realiti Malaysia Baharu

Ceritalah: Setahun berlalu, Pakatan Harapan bergelut dengan realiti Malaysia Baharu
Keyakinan pengundi telah menurun dengan drastik kepada 39 peratus pada Mac 2019. Apakah perubahan yang perlu dilakukan pentadbiran sekarang bagi memastikan ia kekal berkuasa pada pilihan raya umum ke-15? - Free Malaysia Today/Ceritalah
EUFORIA atas kemenangan mengejut Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad tahun lalu telah segera digantikan dengan kekecewaan pahit yang juga mengejutkan.

Selama dua minggu lepas, Pasukan Ceritalah telah menjelajah ke seluruh negara, dari Kuala Kangsar ke Penampang. Ia merupakan usaha sukar bagi pasukan muda kami untuk mendengar dan merakam cerita dari lapangan.

Kami cuba bertemu kembali orang yang kami wawancara sebelum pilihan raya tahun lalu.

Pasukan Ceritalah bukan peninjau suara. Kami tidak cuba untuk melakukan tinjauan saintifik. Sebaliknya, kami berusaha untuk mendapat cebisan-cebisan gambaran sebuah negara yang sedang menyesuaikan diri dengan kedua-dua perubahan besar dan cabaran yang lebih biasa iaitu untuk menjalani kehidupan.
Mereka yang hidup berbakti pada tanah -- pekebun kecil kelapa sawit dan getah serta penanam padi -- adalah yang paling kecewa. Apa yang mereka rasa perlu diberi perhatian kerana pertanian masih menyediakan pekerjaan bagi kira-kira 6 peratus orang Malaysia yang bekerja.

Di Sekinchan, jelapang padi Selangor -- Abang Zaki terpaksa menangani sejenis penyakit yang tidak diketahui, yang mengancam tanaman padi. Sementara bagi Ah Seng, seorang penoreh getah berusia 50-an yang tinggal di luar bandar diraja Kuala Kangsar, harga komoditi yang rendah telah menjadikan pekerjaannya hampir sia-sia. Dapat difahami mengapa kesemua lima anak dewasanya bekerja di Singapura.
Pekebun kecil minyak sawit dari Perak, Abang Man bergelut dengan kos baja dan racun perosak yang lebih tinggi. Kemungkinan kecil berlakunya kemarau jenis El Nino (yang akan mengecutkan bekalan) yang akan berlaku kemudian pada tahun ini mungkin dapat membantu menaikkan harga, tetapi umumnya perasaan yang ada sekarang ialah putus harap.

Pada 2018, bilangan buruh asing di Malaysia melebihi 1.76 juta. Mampukah negara beralih dari imigresen murah untuk menahan gaji pekerja tempatan?Says.com

Kerajaan lama Barisan Nasional (BN) cuba menangani cabaran ini melalui skim pemberian tunai langsung BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) yang popular. 7 juta rakyat Malaysia telah menerima sehingga RM1,200 setahun.

PH (dengan bijak) mengekalkannya, menamakannya semula Bantuan Sara Hidup (BSH). Kira-kira RM5 bilion telah diagihkan kepada 4.1 juta isi rumah. Bagaimanapun, Pasukan Ceritalah mendapati bahawa kekeliruan birokratik bermakna banyak penerima yang ragu-ragu dengan kelayakan mereka.

Begitu juga, di Selayang, di utara ibu negara, pemilik warung tempatan seperti Lakshmi mengadu mengenai kehadiran berterusan peniaga haram warga asing di pasar. Ramai yang menyaksikan pendapatan mereka jatuh mendadak.

Jadi ketika rakyat Malaysia menyesuaikan diri dengan sebuah pentadbiran yang penuh dengan pemimpin yang tidak pernah diuji (23 daripada 26 menteri penuh yang ada sekarang tidak pernah memegang jawatan persekutuan sebelum ini), ramai telah mempersoalkan keberkesanan pasukan baharu itu.

Tentunya, keupayaan mereka untuk berhubung dengan warga Malaysia rakyat biasa kelihatannya telah hilang. Kegagalan mereka sesuatu yang luar biasa melihat kepada perpaduan dan dinamisme yang mereka paparkan menjelang pilihan raya 2018.

Penjual di pasar borong Selayang mengadu perniagaan mereka merosot akibat kehadiran peniaga haram warga asing yang menjual di tepi jalan di luar pasar itu. Pasukan Ceritalah

Sebaliknya, pembinaan satu naratif kukuh sekitar pencapaian sebenar mereka -- pembinaan semula institusi teras dan rombakan proses-proses kerajaan -- mereka telah membiarkan diri mereka dibajak oleh pelaksanaan lemah terhadap inisiatif dasar dan perkelahian dalaman. Kegagalan dalam meratifikasi ICERD dan Statut Rom telah menimbulkan sentimen hodoh berkait orang asal. Sesungguhnya, sikap takut-takut menteri-menteri Melayu adalah suatu yang mengecewakan.

Lagipun, bagi banyak penduduk majoriti Melayu-Islam, kekalahan parti pemerintah yang pernah amat berkuasa, UMNO adalah merupakan kejutan yang tidak disenangi. Rasa bimbang akan dipinggirkan oleh Cina Malaysia yang lebih berharta dan lebih berpendidikan telah dibesar-besarkan secara agresif, serentak dengan usaha bekas perdana menteri Najib Razak untuk memulihkan reputasinya dengan kempen media sosial "Malu apa bossku", menarik perhatian unsur-unsur budaya anak muda kota dari kelas pekerja yang menunggang motosikal.

Tetapi rakyat Malaysia yang kami jumpa menyatakan bahawa mereka bersedia untuk memberi PH peluang.

Dan walaupun terdapat cabaran pada masa depan, Malaysia dikatakan boleh bersedia untuk suatu kebangkitan semula secara besar-besaran.

Abang Zaki. - Ceritalah

China, satu masa dulu merupakan negara pilihan ramai bagi pembuatan seberang laut, telah semakin kurang menarik bagi pelabur.

Buatlah pilihan anda: tarif AS yang merupakan hasil daripada perang dagang, sikap Beijing yang sensitif terhadap perniagaan asing, kenaikan kos input dan kekurangan kemajuan dalam menguatkuasakan keselamatan rantai bekalan seperti kecurian IP dan kawalan mutu.

Korporat multinasional cuba untuk mengurangkan profil risiko yang bermakna mencari negara-negara untuk dibuat pelaburan.

Malaysia sepatutnya dapat mengatur keadaan ini. Kita mempunyai logistik yang bagus (sesuatu yang boleh kita berterimakasih pada kerajaan BN sebelum ini) dan satu lokasi yang amat strategik. Kita adalah sebahagian daripada laluan rantai bekalan global, perdagangan dan pelancongan. Kita juga ditarafkan ke-51 pada Indeks Kedaulatan Undang-undang 2019 oleh Projek Keadilan Dunia, hanya di belakang Singapura di ASEAN.

Ah Seng. - Ceritalah

Seperti Hasnul Nadzrin Shah, Pengarah Hal Ehwal Kerajaan dan Peraturan di IBM memberitahu saya: "Rakyat Malaysia, apabila didedahkan kepada pandangan dunia yang lebih meluas, akan berkembang kerana latar belakang pelbagai budaya mereka."

Dan seperti perjalanan Pasukan Ceritalah tunjukkan: rakyat Malaysia biasa mempunyai etika kerja yang kuat dan dahagakan untuk memperbaiki diri mereka. Apa yang diperlukan ialah untuk membangun modal insan dengan betul. Pekerja Malaysia tidak patut dilayan seperti bahan ekonomi. Rakyat kita adalah aset paling besar -- dan pada jangka panjang -- merupakan satu-satunya aset.

Mereka tentunya layak menerima gaji yang sepadan untuk hidup -- tetapi produktiviti dan nilai tambah mesti juga meningkat.

Banyak pihak bimbang tentang sistem pendidikan kita.

Sementara kurikulum tentunya mesti disemak, Kementerian Pendidikan juga perlu memastikan anak-anak muda kita (yang merupakan hampir separuh daripada pengundi yang layak) mempunyai set minda yang boleh menyesuaikan diri dengan kecenderongan global -- termasuk kerjasama dan kerja berkumpulan -- dua kemahiran penting dalam ruang pasaran buruh hari ini.

Kerajaan juga mesti terus bekerja mengurangkan birokrasi, sama ada untuk SME tempatan atau multinasional asing.

Abang Man. - Ceritalah

Kementerian-kementerian Pelancongan, Peladangan, Perdagangan Antarabangsa dan Industri mesti kesemuanya meningkatkan mutu kerja mereka.

Bekerja dengan perkhidmatan awam adalah penting tetapi mereka mesti tahu bahawa rakyat (yang mana Wakil Rakyat dan Menteri wakili) adalah "bos" sebenar mereka.

Memandangkan akan berlaku perubahan dramatik, adalah kritikal bagi Menteri Hal Ehwal Ekonomi mengatur satu rangka kerja jelas (mewujudkan satu naratif besar yang menyeluruh) yang akan menentukan hala ekonomi negara bagi dekad selanjutnya -- mengemudi pelbagai kementerian dan agensi ke arah matlamat itu.

Tun Dr Mahathir baru-baru ini menjadikan "perkongsian kemakmuran" sebagai mantra terkini pentadbirannya.

Bekalan ikan global juga terus merosot. Keadaan ini berlaku ketika nelayan tempatan terpaksa bersaing dengan penangkap ikan haram. Joe Kit Yong/Ceritalah

Ia adalah tepat: semua rakyat Malaysia wajar memperoleh bahagian kekayaan negara.

Adalah tidak mustahil untuk membantu rakyat yang memerlukan, tetapi pada waktu sama bertindak bijak terhadap kewangan negara dan efisien dalam pentadbirannya.

Sekali lagi: ia adalah mengenai komunikasi. Suka atau tidak, ahli politik Melayu progresif dari semua aliran -- Anwar Ibrahim, Khairy Jamaluddin, Nurul Izzah, Shahril Hamdan dan Nik Nazmi Nik Ahmad -- perlu dibawa ke tengah pentas.

Saya bersama Pasukan Ceritalah telah mengembara di seluruh Malaysia untuk bercakap dengan rakyat biasa, meninjau sama ada kehidupan mereka di akar umbi kini lebih baik. Adakah mereka telah melihat perubahan yang mereka pilih? Pasukan Ceritalah

Tanpa perlu disebut, kedudukan UMNO yang bergerak ke kanan merupakan lonjakan besar bagi Pas. Keadaan ini membahayakan misi kesederhanaan negara -- ini kerana seperti yang kita ketahui dari pertemuan dengan Ibu Yeni, seorang ahli tegar dari Banting, parti itu akan hidup dengan menggugurkan pemimpin-pemimpin kanannya dan sebarang pakatan dengan Pas akan hanya mengukuhkan anasir-anasir konservatif yang boleh menghalang pembangunan.

Setahun selepas 9 Mei 2018, fokus perlu diperluaskan daripada hanya kelangsungan hidup PH.

Cabaran penting yang sebenar ialah masa depan progresif Malaysia.

Jika PH terus dengan pertelingkahan mereka dan ketidakcekapannya, Malaysia yang kita kenal dan cintai akan hanyut begitu saja.


Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.