Tutup

Ceritalah: Tash Aw meneroka sisi gelap Malaysia

Ceritalah: Tash Aw meneroka sisi gelap Malaysia
Tulisan Tash Aw sebelum ini berlatarbelakangkan British Malaya, zaman selepas penjajahan di Indonesia dan era kemodenan Shanghai. Foto Poskod MY
TASH Aw adalah seorang novelis Malaysia yang menang hadiah antarabangsa. Beliau juga seorang penulis esei yang sofistikated dan luas perjalanannya dengan secara intuitif menguasai zetgeist dan suasana di mana beliau berada. Lahir di Taipei 40 tahun lalu, beliau tinggal dan bekerja di merata tempat di dunia: dari Shanghai, Singapura, Kuala Lumpur, Paris ke London, di mana beliau menetap sekarang.

Sungguhpun begitu, tulisan Tash hanya benar-benar hidup -- secara literal, meletup-letup dengan semangat yang meluru terus dalam gabungan kepedihan dan ancaman -- apabila beliau tumpukan perhatian pada golongan kelas pekerja cekal di kalangan keluarga besarnya di tempat asalnya di Malaysia.
"We, the Survivors" (Kami, Orang yang Selamat) merupakan satu kisah mengenai pembunuhan. Tetapi oleh kerana kita tahu siapa yang bertanggungjawab dari awal lagi, maka ia menjadikannya suatu penerokaan konteks. Dan ketika Tash menggambarkan sebuah pekan Malaysia, beliau menyampaikan rasa ketiadaan harapan, kekejaman dan ada kalanya kelembutan dengan gaya cekap dan menjimatkan kata. Bagi Tash, kebanyakan orang, akan melakukan apa saja untuk keluarga dari lingkungan peluang yang terhad dan berhalangan dalam dunia itu.

Watak utama, Ah Hock adalah seorang sosok orang biasa. Tidak ada yang menarik dan memiliki bakat terhad -- kecuali keupayaannya untuk bekerja keras dengan hati terbuka -- beliau membesar dalam keluarga yang bercerai-berai di hujung sebuah kampung nelayan.
Pemandangan domestik yang sunyi menjadi tambatan pada novel ini. Ia adalah lembut, mentah dan merentap perasaan. Pendek kata: Ia adalah sastera hebat. Tash merakam mutu kehidupan wataknya yang berada di batas dua dunia dan tidak menentu dengan kesan dahsyat.

Bapa Ah Hock, sebagai contoh mempunyai kehadiran yang menghantui. Beliau meninggalkan isteri dan anaknya dan lari ke Singapura, di mana dia menemui "Tuhan" dan membina keluarga lain.

Sementara itu, isterinya ditinggalkan bersendirian untuk menyara hidup dan anak lelakinya. Terdesak dengan kesunyian, isterinya tinggal bersama seorang bujang kampung mengakibatkan beliau dipulaukan oleh kampung itu.

Dalam buku terbarunya, 'We, The Survivors' Aw meneroka keterbatasan dan peluang terhad yang dihadapi rakyat Malaysia di luar bandar. Foto Amazon

Akhirnya, beliau peroleh sepetak tanah kosong dan daripadanya menyara hidup -- cangkul demi cangkul. Setelah memperoleh sedikit kebebasan, dunianya dihanyutkan -- secara literal -- oleh air pasang. Tragedi beliau lebih daripada apa yang dilalui oleh nasib malang janda muda Jeha dalam klasik Shahnon Ahmad "Ranjau Sepanjang Jalan."

Perkara ini membawa saya benar-benar ke lokasi geografi khusus novel itu. Digambarkan di dataran rendah yang luas di tepi laut di Selangor utara, mereka yang biasa dengan novel Kevin Kwan, "Crazy Rich Asian" (Orang Asia Kaya Gila) akan mengenali kawasan itu hanya kerana mereka terbang di atas tanah rata lumpur, kilang-kilang dan gudang-gudang dengan jet peribadi mereka sebelum mendarat di lapangan terbang Kuala Lumpur di Subang.

Tash meresapi kawasan yang kusam dan umumnya tidak dipedulikan itu dengan nilai dan makna kesusasteraan yang melangkaui geografi. Beliau meneliti dunia petani dan nelayan Cina, menetapkan sempadan antara mereka dan dunia pekerja-pekerja minyak sawit yang lebih mencurahkan keringat dan membanting tulang tanpa kesudahan.

Bahasa mereka keras dan miskin kata-kata kerana kehidupan mereka adalah juga suram dan sayu: "Kami tidak bergaul dengan mereka (orang India) -- kehidupan kami sepenuhnya berasingan. Kami tidak mahu ada apa-apa kaitan dengan mereka, kalau-kalau nasib tidak baik mereka menjangkiti kami."

Karya bukan fiksyen tulisan Aw, bertajuk The Face: Strangers on a Pier, terbitan 2016. Foto Tash Aw

Berdekad-dekad kemudian, ketika mana orang India itu dikeluarkan dari estet-estet, peranan mereka diambilalih oleh pekerja asing: Indonesia, Bangladesh dan kemudiannya, Rohingya dari Myanmar. Di sini, bagaimanapun, novel itu kehilangan keserta-mertaan dan kuasa emosi.

"Ketika mana banyak pekerja asing dari seberang laut di Malaysia (terutamanya yang tidak terdaftar) adalah menyedihkan. Tash gagal menghidupkan sosok-sosok ini. Beliau boleh menyampaikan kemarahan pada nasib mereka: Bukanlah gaji mereka yang memusnahkan semangat orang lelaki dan perempuan ini, tetapi pekerjaan itu -- cara ia memusnahkan tubuh badan mereka... cara mana ia mengubah mereka dari kanak-kanak untuk menjadi makhluk tua dalam tempoh beberapa tahun."

Tetapi sedihnya, orang asing kekal asing dan tanpa diketahui. Dalam novel itu, mereka hanya merupakan suatu sosok bayangan, penting dari segi plot (salah seorangnya adalah mangsa pembunuhan) dan tema tetapi sedikit perkara yang lain.

Filem yang memenangi anugerah, Crazy Rich Asians (2018), penuh dengan kemewahan dan glamor. Foto The Atlantic

Anehnya, Tash juga terkial-kial dengan penceritanya -- seorang penyelidik/penulis homoseks. Dalam "The Face" (Wajah), beliau baru-baru ini menerbitkan esei mengenai identiti, keluarga dan kelas. Tash membezakan antara mereka yang berjaya melepaskan diri daripada kebosanan kehidupan luar bandar (paling ketara ialah ibu bapa yang bercita-cita tinggi dan bekerja keras) dan orang-orang lain yang tidak pergi ke mana-mana.

Sekali lagi, apabila Tash menggali pengalamannya sendiri, tulisannya adalah cemerlang. Penghuraiannya tentang perbualannya dengan bapanya memiliki ketajaman emosi yang langka. Dengan demikian, seseorang boleh membayangkan bahawa pencerita dengan gaya ilmiahnya dan kehidupan kosmopolitan akan relatifnya mudah baginya untuk paparkan. Bagaimanapun, perkara itu tidak berlaku dan watak itu akhirnya menjadi hanya lebih sedikit untuk melicinkan plot yang suram dan tidak menarik.

"We, the Survivors" mencampakkan kita pada keributan konteporari Malaysia. Tash mendedahkan sisi tersembunyi negara. Ia merupakan wilayah kotor, korup dan tercemar. Walaupun ada kelemahan, buku ini masih mesti dibaca dan antitesis wajib kepada "Crazy Rich Asians" yang menjadi suatu hiasan Hollywood yang tidak perlu.


* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.