Prince of Wales, Putera Charles dan isteri Camilla, Duchess of Cornwall tiba di sini malam ini, sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi sehari sempena ulang tahun ke-60 hubungan dua hala antara Malaysia dan United Kingdom.

Pesawat Tentera Udara Diraja yang membawa pewaris takhta British dan isteri itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 8.10 malam.

Pasangan diraja itu diiringi Menteri Pengiring Datuk Seri S. K. Devamany yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Ketibaan baginda berdua disambut oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan barisan exco kerajaan negeri.

Baginda berdua dijadual melawat beberapa tempat ibadat di kawasan warisan di sini esok termasuk Gereja St George, Masjid Kapitan Keling, Tokong Pusaka Han Jiang dan Kuil Sri Mahamariamman.

Pasangan itu juga dijangka bersiar-siar di sekitar kawasan warisan pada tengah hari sebelum Putera Charles melawat Muzium Sun-Yat Sen di Armenian Street manakala Camilla ke Teochew Puppet and Opera House untuk melihat pertunjukan kebudayaan.

Sementara Camilla berehat pada sebelah petang, Prince of Wales itu akan melawat Pusat Perikanan Dunia, sebuah organisasi penyelidikan antarabangsa yang memanfaatkan perikanan dan akuakultur bagi mengurangkan kebuluran dan kemiskinan, berpusat di Batu Maung, di bahagian selatan Pulau Pinang.

Selepas lawatan ke pusat perikanan itu, Putera Charles akan ke pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Butterworth, Seberang Perai atau dahulunya dikenali sebagai Province Wellesley, untuk Perjanjian Pertahanan Lima Negara.

Pada sebelah malam pula, pasangan Diraja British itu akan menghadiri Resepsi Alumni Sandhurst di Hotel Eastern and Oriental sebelum mengakhiri lawatan dengan menghadiri Resepsi Muzium Peranakan Pulau Pinang di Church Street.

Ini merupakan lawatan pertama pasangan diraja itu ke Malaysia.

Lawatan oleh keluarga Diraja British sebelum ini ialah Ratu Elizabeth II dan Duke of Edinburgh yang menghadiri pembukaan rasmi Sukan Komanwel ke-16 di Kuala Lumpur pada 1998 dan kunjungan Putera William dan Kate Middleton, Duke dan Duchess of Cambridge pada September 2012.

Hubungan antara Malaysia dan United Kingdom merangkumi pelbagai bidang termasuk perdagangan, pertahanan dan keselamatan, pendidikan, ekonomi digital, teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui, budaya dan pelancongan.

Malaysia adalah pasaran eksport kedua terbesar negara itu di ASEAN dan United Kingdom adalah rakan dagang ketiga Malaysia di Eropah, manakala dalam bidang pendidikan, terdapat lebih daripada 18,000 rakyat Malaysia belajar di negara itu pada masa ini.

Sebelum tiba di Pulau Pinang, Putera Charles dan Camilla melawat Kuching, Sarawak yang mana mereka dipersembahkan dengan pertunjukan kebudayaan negeri Bumi Kenyalang itu yang penuh warna-warni.

-- BERNAMA