Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan bekas Ketua PKR Cabang Rembau Badrul Hisham Shaharin, aktivis pembangkang Adam Adli Abdul Halim, Muhammad Safwan Anang@Talib dan tujuh lagi membela diri atas dua pertuduhan iaitu menyertai perhimpunan dan merusuh di Jalan Parlimen, dua tahun lepas.

Hakim Abdul Rashid Daud membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka setelah mendengar keterangan daripada 18 saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan tiga hari iaitu pada 26, 27 Jan dan 10 Mac tahun depan untuk mereka membela diri. Badrul Hisham atau Chegubard, 37, Adam Adli, 27, Muhammad Safwan, 26, yang juga Pengarah Eksekutif Lensa Anak Muda Malaysia (Lensa) serta tujuh individu itu didakwa menyertai perhimpunan itu bertujuan melakukan mudarat awam di Jalan Parlimen antara 9.15 pagi dan 11.25 pagi pada 24 Jun 2013.

Tujuh individu itu ialah Norazimah Mohamad Nor, Ahmad Shauqie Abdul Aziz, Ahmad Syukri Che Ab Razab, Lim Sue Pei, Edy Noor Reduan, Md Sani Md Shah dan Ekhsan Bukharee Badarul Hisham.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa merusuh di persimpangan jalan masuk ke bangunan Parlimen pada 11.25 pagi pada tarikh sama mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan lima yang lain iaitu Muhammad Aiman Hakim Zainal, Annie Ooi Siew Lan, Mah Chee Hoe, Tong Chan Sang dan Abdullah Hassan membela diri atas pertuduhan menyertai perhimpunan sama.

Mahkamah juga melepas dan membebaskan 18 individu lain tanpa perlu membela diri daripada pertuduhan menyertai perhimpunan itu dan merusuh di tempat dan waktu sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim dan peguam Michelle Yesudas serta Mohd Radzlan Jalaludin mewakili tertuduh.