Selepas gagal dihubungi untuk hadir ke mahkamah semalam, aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin akhirnya didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Seksyen Shah Alam, hari ini.

Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard berada dalam tahanan polis selepas ditahan malam tadi.

Chegu Bard, 39, mengaku tidak bersalah menerbitkan penerbitan yang menghasut berkaitan dengan Istana Selangor melalui laman Facebooknya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis Jalan Kuarza Seksyen 7, Shah Alam, jam 5 petang pada 11 Januari lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pengarah Pendakwaan Negeri, Muhamad Iskandar Ahmad yang bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya mencadangkan jaminan RM10,000 atas alasan Chegu Bard sengaja mengelak daripada hadir ke mahkamah, semalam.

“Tertuduh sepatutnya hadir untuk dituduh semalam, tetapi dia tidak dapat dihubungi sehinggalah pihak kami berjaya menjejaknya malam tadi,” katanya.

Menurutnya, lokasi penahanan Chegu Bard yang jauh dari kediamannya menunjukkan dia cuba mengelak untuk didakwa.

Justeru katanya, cadangan RM10,000 sebagai wang jaminan adalah munasabah.

Sementara itu, Amar Izzat yang bertindak sebagai peguam bela Chegu Bard mengakui anak guamnya tidak bersedia untuk dituduh semalam.

“Sebelum itu, beberapa pengaturan telah dibuat untuk mendapatkan tarikh sesuai supaya tertuduh boleh hadir bersama peguamnya,” katanya.

Menurutnya, anak guamnya telah dituduh dengan empat tuduhan di bawah Akta Polis dan Akta Perhimpunan Aman di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, namun tidak pernah gagal setiap kali kes ditetapkan.

“Oleh yang demikian, tertuduh bukanlah berisiko tinggi untuk melarikan diri,” katanya.

Hakim Rihaida Rafie membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan memerintah pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 16 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu pada prosiding itu, Datuk Salehuddin Saidin hadir sebagai peguam pemerhati untuk Istana Selangor.