Chikungunya: Bilangan mangsa bertambah, lokasi baharu turut dikesan

Chikungunya: Bilangan mangsa bertambah, lokasi baharu turut dikesan
DR NORHIZAN: Kesemua empat mangsa terbaharu itu adalah penduduk dan peniaga berusia antara 39 hingga 60 tahun yang tinggal berdekatan deretan kedai di pekan Simpang Kuala. -Gambar fail
ALOR SETAR: Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar mengesahkan pertambahan empat orang lagi mangsa yang disahkan positif chikungunya menjadikan jumlah keseluruhan positif wabak tersebut adalah seramai 19 orang.

Itu tegas Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail selepas satu lokasi baharu turut dikesan di sekitar pekan Simpang Kuala, Alor Setar.

Menurutnya, kesemua empat mangsa terbaharu itu adalah penduduk dan peniaga berusia antara 39 hingga 60 tahun yang tinggal berdekatan deretan kedai di pekan Simpang Kuala.
Jelas Dr Norhizan, pihaknya menerima aduan berkenaan penularan wabak tersebut di lokasi baharu itu sekitar jam 10 malam pada Isnin.

Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar ketika ini masih menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada terdapat hubung kait antara deretan kedai di City Plaza dan di Simpang Kuala.

Tambah beliau, aktiviti kawalan vektor turut dilaksanakan di 24 buah premis dan dari kesemua premis yang diperiksa menemui enam bekas tempat pembiakan nyamuk.

Daripada jumlah terbabit, empat kompoun dikeluarkan di bawah Akta Pemusnahan Serangga pembawa penyakit dengan nilai keseluruhan RM2,000.

Pada Isnin, seramai 23 orang disyaki dijangkiti penyakit itu selepas kesemua mereka mengalami simptom demam sakit sendi yang teruk dan ruam.

Bagaimanapun, Dr Norhizan menjelaskan hanya 15 orang disahkan positif wabak chikungunya menerusi hasil keputusan ujian darah.