China memberi kelulusan kepada Malaysia untuk mengeksport buah durian Musang King sejuk beku ke republik itu bulan lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata eksport durian tersebut dijangka akan bermula Julai atau Ogos mengikut musim durian.

Beliau menegaskan, kepercayaan yang diberi oleh China itu perlu dipelihara selain tidak menipu atau menjatuhkan integriti negara dalam perniagaan itu.

"Semua pembekal kita yang terlibat ini, jangan tipu selain mesti menjaga kepercayaan dengan mengamalkan integriti.

"Jangan letak (mengeksport) durian yang bukan Musang King sebab nanti kita akan ada masalah kalau dikesan menipu oleh kerajaan China pada masa akan datang," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Program Jualan Jimat Belanja di Pasar Tani Datin Halimah di sini hari ini.

Tegas beliau, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan seperti menarik lesen pembekal kepada mana-mana syarikat yang terbukti bersalah.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata berita gembira itu hasil dua siri lawatan kerajaan Malaysia ke China pada Ogos tahun lepas dan Mac lalu.

Kelmarin, China telah memberi lampu hijau kepada Malaysia untuk mengeksport durian dalam bentuk sebiji penuh sejuk beku berkuatkuasa kelmarin.

Kata Salahuddin keputusan itu diterima selepas kira-kira sebulan wakil negara itu menjalankan pemeriksaan di ladang sembilan syarikat peladangan.

Sebelum ini, Malaysia hanya dibenarkan mengeksport dalam bentuk 'paste' seperti tempoyak dan ulas yang dibekukan.