China yakin bahawa Malaysia akan terus berkembang maju dan membangun di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Kaunselor Negara China dan Menteri Hal Ehwal Luar, Wang Yi.

Sejak Dr Mahathir mengambil alih teraju pentadbiran pada 9 Mei, beliau berkata China, sebagai sahabat baik Malaysia, gembira melihat kemajuan yang dicapai oleh Malaysia dan ini akan memberi janji kepada rakyat Malaysia untuk terus bersatu dan mencapai kemajuan yang gemilang.

"Kami menghormati pilihan yang dibuat oleh rakyat Malaysia dan kami menyokong Malaysia dalam arus pembangunan sepenuhnya sesuai dengan keadaan pembangunan Malaysia. Kami gembira melihat bahawa sejak Dr Mahathir mengambil alih, banyak dimensi yang telah dibuka kepada pembangunan negara Malaysia.

"Sebagai rakan baik Malaysia, China gembira melihat kejayaan yang telah dicapai oleh Malaysia dan kami yakin dibawah kepimpinan Dr Mahathir, rakyat Malaysia akan terus bersatu dan mengecap kegemilangan baharu dan Malaysia terikat untuk memainkan peranan lebih aktif dan penting dalam hal ehwal serantau dan global," kata beliau dalam sidang media bersama di sini pada Selasa.

Terdahulu, Wang Yi mengunjungi rakan sejawatannya dari Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah di Wisma Putra di sini. Kedua-dua pihak mengadakan rundingan selama hampir tiga jam membincangkan isu-isu dua hala dan serantau.

Selain itu, Wang Yi juga menyifatkan Dr Mahathir adalah sahabat lama dan sahabat karib rakyat China apabila Perdana Menteri Malaysia itu amat mengenali China dan memberi penekanan penting mengenai peranan China.

"Beliau mesra kepada China dan sangat menghargai persahabatan yang dibina bersama beliau (Dr Mahathir) selama ini. Dan kami (China) percaya, semasa lawatan beliau (Dr Mahathir) nanti, ikatan kepercayaan bersama akan bertambah kukuh antara pemimpin kedua-dua negara," kata beliau.

Selain melawat Malaysia atas jemputan Saifuddin, Wang Yi melalui penterjemah berkata lawatannya ialah untuk membuat persiapan bersama rakan sejawatan dari Malaysia untuk lawatan rasmi Dr Mahathir ke China pada pertengahan Ogos. Wang Yi kini dalam lawatan kerja dua hari ke Malaysia.

Beliau berkata semasa lawatan Dr Mahathir, pemimpin China dan Malaysia juga akan merangka rancangan pembangunan baharu bagi kerjasama yang memberi manfaat bersama.

"Kami menghargai sokongan dan penyertaan aktif Dr Mahathir dalam inisiatif Satu Jalur Satu Laluan yang akan membuka bidang-bidang kerjasama yang baharu antara China dan Malaysia demi mencapai kemajuan dan kemakmuran bersama," kata beliau.

Wang Yi juga berkata, China menyifatkan hubungannya dengan Malaysia penting kerana ikatan persahabatan tradisional yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara memandangkan China dan Malaysia adalah negara membangun yang mengamalkan dasar luar yang bebas, percaya kepada nilai-nilai Asia dan menentang semua bentuk politik kuasa.

"China memeberi keutamaan tinggi kepada hubungan dengan Malaysia dan meletakkan Malaysia di landasan yang penting dalam diplomasi China terutama untuk mengukuhkan kerjasama dan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara," katanya sambil menambah China tidak sama sekali akan campur tangan dalam hal ehwal Malaysia.

Sementara itu, Saifuddin berkata Malaysia akan terus menganggap China sebagai jiran yang baik dan rakan penting dalam usaha untuk memperkukuhkan hubungan dan inklusif bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala.

Mengenai mesyuarat hari ini, beliau berkata ia merupakan perbincangan yang berhasil kerana kedua-dua pihak bertukar pendapat mengenai pelbagai isu seperti meneroka selanjutnya bidang-bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pelancongan, pertanian dan keselamatan.

"Mengenai hubungan ekonomi dua hala, kedua-dua pihak berpuas hati dengan kemajuan mantap selama ini kerana China adalah rakan dagang Malaysia yang terbesar selama sembilan tahun berturut-turut sejak 2009. Malaysia ialah rakan dagang China yang kesembilan terbesar, dan kedua terbesar di kalangan negara-negara ASEAN tahun lepas.

"Isu-isu lain yang disentuh ialah untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan, dan mengalu-alukan penyelerasan dan kerjasama yang lebih rapat antara China dan negara-negara anggota ASEAN," kata Saifuddin.

Mengenai lawatan Dr Mahathir ke China, beliau berkata kedua-dua pemimpin yakin bahawa lawatan itu akan melakar sejarah baharu dan menaruh harapan bahawa lawatan tersebut akan mencapai kejayaan. -- Bernama