Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengeluarkan 3,093 notis kepada kontraktor dan personel binaan atas pelbagai kesalahan sejak awal Januari hingga Ogos tahun ini.

Ketua Eksekutif CIDB Datuk Ir Ahmad 'Asri Abdul Hamid berkata kesalahan itu melibatkan pendaftaran, akreditasi, latihan personel binaan, perakuan pendaftaran kontraktor, tidak mengisytiharkan projek dan kegagalan menjelaskan bayaran levi dalam tempoh yang ditetapkan.

Beliau berkata notis terbanyak dikeluarkan di Sarawak iaitu 540 notis diikuti Johor (325), Selangor (296), Terengganu (281), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (242) dan Sabah (236) manakala selebihnya di negeri lain.

"Kesemua notis berkenaan dikeluarkan hasil daripada operasi bersepadu bersama agensi kerajaan berkaitan serta risikan dan lawatan mengejut penguat kuasa CIDB di seluruh negara ke tapak-tapak binaan yang telah dikenal pasti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata CIDB sentiasa memandang serius pematuhan kerja pembinaan terutamanya yang menyentuh aspek keselamatan awam.

"Oleh sebab itu, CIDB akan terus memantau dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kontraktor dan personel binaan yang ingkar dalam mematuhi kehendak undang- undang bertulis," katanya.

-- BERNAMA