Seorang guru yang mengamuk dalam satu mesyuarat di sebuah sekolah di Kulim, Kedah telah dipindahkan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulim Bandar Baharu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, kelakuan guru tersebut tidak melambangkan sikap profesionalisme sebagai seorang pendidik.

Justeru Jabatan Pendidikan Negeri kedah telah diarah untuk menempatkan guru tersebut di PPD Kulim bermula hari ini.

“Tindakan ini adalah bagi mententeramkan keadaan emosi guru itu serta menjaga ketenteraman proses pengajaran dan pembelajaran yang berlansung di sekolah berkenaan,” tambah kenyataan itu.

Video yang menunjukkan tindakan guru itu tular di media sosial pada Rabu sehingga menimbulkan keresahan pelbagai pihak.

Dalam pada itu KPM mengingatkan semua guru dan pentadbir sekolah untuk sentiasa menjaga perlakuan serta bertindak secara profesional pada setiap masa.

“Ia bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang terutamanya dalam konteks hubungan antara rakan sekerja, murid dan masyarakat.

“Penjawat awam perlu menunjukkan teladan yang baik agar kepercayaan dan keyakinan terhdapa profesion perguruan tidak menjadi bahan persendaan masyarakat,” tegas KPM.