Bagi menghadapi gangguan digital serta Revolusi Industri 4.0, kecanggihan teknologi harus dijadikan sebagai pelengkap terutamanya dalam memahami dan memenuhi kehendak pengguna.

Bagi Ketua Pegawai Kandungan dan Konsumer Kumpulan Astro, Henry Tan, kebergantungan sepenuhnya kepada teknologi semata-mata tidak mampu menghasilkan sesuatu yang dekat di hati pengguna.

"Contohnya, seperti apa yang berlaku ketika Brexit dan Pemilihan Presiden Amerika Syarikat, dapatan data nyata berbeza dengan realiti," katanya ketika memberi ucap tama pada Sidang Kemuncak Communication ASEAN (COMMA 2017) anjuran Astro AWANI hari ini.

Masa depan kandungan perlu diurus dengan memahami kepelbagaian pengguna serta keperluan kandungan agar penyedia kandungan terus relevan biar pun dilanda perubahan platform akibat ledakan digital.

"Untuk berjaya di masa depan, gabungan kerjasama dengan prinsip kesalinglengkapan mampu memantapkan industri kandungan serantau.

"Melalui cara ini, kepelbagaian latar belakang dapat diurus dengan lebih cekap malah boleh dimanfaatkan sebaiknya.

"Jangan terlalu bergantung kepada perkembangan teknologi semata-mata kerana setiap teknologi itu sendiri perlu belajar daripada pengguna sendiri," ujarnya.

Tambah beliau, prinsip kesalinglengkapan ini mampu menjadi pemangkin utama demi kelangsungan industri kreatif, kandungan dan komunikasi.