Satu lagi kematian dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif kematian COVID-19 kini meningkat ke 108, manakala 54 kes baharu dicatatkan sehingga pukul 12 tengah hari 9 Mei 2020 menjadikan jumlah keseluruhan adalah 6,589 kes.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 65 kes sembuh menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh adalah 4,929 kes.

Sebanyak 18 kes dirawat di ICU dan 6 daripadanya sedang menerima bantuan pernafasan.

Sumber Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia


Daripada jumlah baharu itu, 45 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia dan daripada jumlah itu, satu kes import dilaporkan.

Ini bermakna kes penularan tempatan adalah sebanyak 53 kes, di mana tiga kes dikesan dari kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Untuk rekod, kes kematian ke-108 (kes ke-2499) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 74 tahun.

Mangsa mempunyai latar belakang belakang penyakit autoimun, darah tinggi dan penyakit tiroid.

Mangsa mempunyai sejarah kontak rapat kes positif COVID-19, iaitu kes ke-1276 yang berkaitan dengan perhimpunan di Seri Petaling yang kemudiannya telah dirawat di Hospital Melaka pada 29 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 8 Mei 2020 jam 11.23 malam.