KUALA TERENGGANU:Sebanyak 10 buah sekolah rendah di Terengganu ditutup bermula hari ini bagi membolehkan proses sanitasi dilakukan di sekolah berkenaan.

Sekolah terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kesom, SK Bukit Petiti, SK Pulau Manis, SK Manir, SK Tengku Ampuan dan Mariam.

Selain itu turut ditutup SK Kedai Buloh, SK Tok Dir, SK Pusat Kuala Ibai, SK Seri Budiman dan SK Gong Tok Nasek.

Sekolah berkenaan diarahkan tutup selama tujuh hari bermula hari ini hingga 30 Januari.

Memetik laporan Bernama, ia susulan terdapat sejarah perjalanan kes pesakit COVID-19 ke semua sekolah berkenaan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata penutupan itu bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dilakukan bagi mencegah penularan wabak COVID-19 di semua sekolah terbabit.

Terdahulu, dua buah sekolah iaitu SK Sultan Sulaiman 1 (SKSS1) dan SK Paloh ditutup selama 14 hari bagi proses sanitasi ekoran terdapat lapan kes positif COVID-19 dikesan.

Arahan itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu di bawah Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).