Sejumlah 11 kes import dilaporkan pada Khamis melibatkan warganegara Malaysia yang pulang dari luar negara dikuarantin di Melaka.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu perkongsian di Facebook rasmi beliau berkata, kesemua telah disaring untuk sampel kedua pada 9 Jun dan dibenarkan pulang ke rumah untuk menyambung tempoh kuarantin di rumah memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa mulai 10 Jun 2020.

"Setelah keputusan sampel didapati positif COVID-19, mereka telah dimasukkan ke dalam wad di hospital.

"Kesemua mereka tidak bergejala dan stabil. Kes-kes ini dimasukkan ke hospital untuk pemerhatian," katanya.


Sumber Facebook DGHisham

Mereka ditempatkan di beberapa hospital termasuk empat kes di Hospital Tumpat, Kelantan, empat kes di Hospital Sungai Buloh, Selangor manakala di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah; Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak dan Hospital Melaka, masing-masing satu kes.

Mengikut garis panduan WHO, kes disahkan COVID-19 dan tidak bergejala lebih dari 10 hari adalah tidak mempunyai risiko transmisi kepada orang lain dari tarikh disahkan positif.

Terdahulu, Dr Noor Hisham memaklumkan semasa sidang media harian COVID-19, jumlah kes baharu positif pada Khamis kembali meningkat kepada dua angka dengan 31 kes baharu, melibatkan 11 kes import dan 20 kes penularan tempatan.

-- BERNAMA