Kes baharu COVID-19 di negara ini kekal merekodkan dua digit dengan 16 kes dikesan setakat pukul 12 tengah hari, pada Ahad.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, tiga kes adalah kes import melibatkan dua rakyat tempatan.

Katanya, daripada 13 kes penularan tempatan, sembilan kes adalah bukan warganegara manakala selebihnya warga Malaysia.

"Kes kematian kekal dengan 121 kes apabila tiada kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.











Dengan jumlah terbaharu itu, kata Dr. Noor Hisham, jumlah kes kumulatif virus berkenaan di negara ini adalah sebanyak 8,572 kes.

Beliau berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 di Malaysia setakat ini adalah 295 kes.


Kes jangkitan dalam negara (sembilan kes) dalam kalangan bukan warganegara adalah seperti berikut:


Selangor: Dua kes kontak rapat kepada kes positif COVID19 (kes ke-8,513). Kesemua mereka adalah daripada kluster Syarikat Pembersihan.

Negeri Sembilan: Enam kes daripada kluster Pedas.

Sabah: Satu kes daripada saringan tahanan di Pusat Tahanan Sementara Tawau sebelum penghantaran pulang ke Indonesia.


Kes penularan COVID-19 dalam negara dalam kalangan rakyat Malaysia (empat kes) pula adalah seperti berikut:

Sarawak: Dua kes merupakan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (kes ke-8,535). Kedua-dua mereka adalah daripada kluster Kidurong.

Melaka: Satu kes daripada saringan orang kena tuduh (OKT) yang baru dimasukkan ke lokap.

Johor: Satu kes saringan pra pembedahan di hospital.