Kes baharu positif COVID-19 di negara ini kembali kepada dua digit apabila sebanyak 30 kes baharu dikesan setakat jam 12 tengah hari, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara ini adalah sebanyak 7,762 kes.

Dalam pada itu, sebanyak 95 kes telah sembuh dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan keseluruhan kes pulih sebanyak 6,330 kes atau 81.55 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,317 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

"Ingin dimaklumkan daripada 30 kes baharu yang dilaporkan tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara. Daripada 27 kes penularan tempatan, 17 kes adalah kes bukan warganegara Malaysia manakala kes penularan tempatan di kalangan warnanegara Malaysia adalah 10 kes sahaja," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Sabtu.

Jelas Dr Noor Hisham, seramai sembilan kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dan daripada jumlah tersebut, dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) turut melaporkan tiada kes kematian baharu direkodkan di negara ini hari ini akibat COVID-19.

Ia sekali gus menyaksikan tujuh hari berturut-turut Malaysia tidak mencatatkan sebarang kematian berhubung pandemik tersebut.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 115 kes (1.48 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)," ujarnya.