Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sebanyak 31 kes baharu COVID-19 direkodkan di negara ini setakat 12 tengah hari Khamis, menjadikan jumlah kumulatif kes di Malaysia adalah adalah sebanyak 8,369 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 di negara ini pula sebanyak 1,186 kes.

"Ingin dimaklumkan daripada 31 kes baharu yang dilaporkan, 11 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara. Daripada 20 kes penularan tempatan, 19 kes adalah melibatkan bukan warga negara dan satu kes adalah dalam kalangan warganegara iaitu kes di Selangor bagi saringan pusat tahfiz.

"Perincian dalam kes 19 baharu adalah; 16 kes dalam kluster Pedas, Negeri Sembilan; satu kes Kluster Tahfiz di Kg Sungai Lui; satu kes Kluster Syarikat pembersihan Kuala Lumpur; dan satu kes melibatkan saringan pekerja tapak pembinaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Khamis.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 51 kes yang pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Ia sekali gus menyaksikan kes sembuh sepenuhnya menunjukkan peningkatan kepada 7,065 kes atau 84.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan memaklumkan tiada sebarang kematian direkodkan di negara ini berkaitan dengan COVID-19 pada Khamis.

Bagaimanapun, katanya sebanyak lima kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), tetapi tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

“Justeru, kes kumulatif kematian di Malaysia adalah kekal 118 kes iaitu 1.41 peratus daripad jumlah kes keseluruhan,” katanya.