37 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah 8,303 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 8 kes melibatkan kes import dan 29 kes penularan dalam negara.

"Ingin dimaklumkan daripada 37 kes baharu yang dilaporkan, 8 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

"Daripada 29 kes penularan di dalam negara, 19 kes adalah bukan warganegara dan 10 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia," katanya dalam sidang media harian di sini pada Sabtu.

Susulan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,551 kes dan mereka telah diasingkan serta diberi rawatan.

Sehingga kini, lima kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.

Pada masa sama, 25 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 6,635 kes (79.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)," ujarnya.

Sementara itu, Malaysia mencatatkan satu lagi kes kematian baharu berkaitan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 117 kes.

"Kes kematian 117 iaitu kes 2,296 merupakan perempuan warganegara Malaysia berusi 79 tahun, yang juga kontak rapat kepada kes COVID-19 yang ke-1,508.

"Beliau mempunyai gejala pada 18 Mac 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan disahkan COVID-19. Beliau meninggal dunia pada 5 Jun 2020 jam 2.05 minit petang," kata beliau.