Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ni mengesahkan terdapat 47 kes positif baharu COVID-19 dikesan di negara ini sehingga Ahad.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah itu 21 kes merupakan kes import manakala 26 kes melibatkan penularan tempatan.

Selain itu, KKM turut memaklumkan terdapat 44 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya ialah sebanyak 5,615 kes atau 80.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga 18 Mei 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 47 kes, baharu yang telah dilaporkan. Oleh itu, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,941 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,213 kes.

“Ingin dimaklumkan daripada 47 kes baru yang dilaporkan, 21 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala 26 kes adalah penularan tempatan di mana 17 kes adalah bukan warganegara Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Putrajaya pada Isnin.