Kira-kira 62 peratus pesakit yang didapati positif COVID-19 selepas disaring oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah golongan yang menghadiri ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling, hujung bulan lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kira-kira pihaknya melakukan saringan terhadap kira-kira 13,000 jemaah tabligh dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 6,700 sampel sudah diambil.

“Kita dah laksanakan lebih kurang 13,000 saringan dan sampel yang diambil ialah 6,700. Daripada jumlah 6,700 itu, yang dilaporkan positif ialah seramai 940 orang.

“Jadi, untuk jumlah kumulatif kes COVID-19 yang kita ada hari ini ialah 1,518 kes. Ini bermakna, lebih kurang 62 peratus merupakan jemaah tabligh,” katanya dalam sidang media KKM di Putrajaya pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, pihaknya meneruskan usaha mengesan jemaah tabligh yang belum membuat saringan dan menggalakkan mereka segera berbuat demikian.

“Kita juga akan bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan mereka, seterusnya membawa mereka datang ke hospital atau klinik untuk disaring.

“Itu yang penting, apabila kita dapat mengesan mereka, baru kita akan melaksanakan ujian COVID-19, kalau positif mereka akan dimasukkan ke hospital atau ke pusat kuarantin,” tambahnya lagi.

Beliau pada masa sama menegaskan jemaah tabligh terbabit tetap perlu menjalani saringan walaupun tidak mengalami sebarang simptom.

“Sebelum ini, kita ikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu kita hanya ambil sampel mereka yang mempunyai gejala sahaja... kalau tiada gejala kita periksa, tapi tak ambil ujian. Tetapi bermula hari ini kita telah setuju untuk buat ujian saringan walaupun tiada gejala,” kata Dr Noor Hisham lagi.

Sementara itu, sejumlah empat kematian akibat COVID-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam yang lalu sekali gus menjadikan 14 kematian direkodkan di negara ini setakat Isnin.

BACA: COVID-19: 212 kes baharu, 4 kes kematian dalam 24 jam

BACA: Dua kematian akibat COVID-19 di Sarawak hari ini