Kes sembuh dan pulih sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19 di negara ini lebih tinggi berbanding kes baharu apabila sebanyak 76 kes telah dibenarkan keluar hospital, pada Sabtu.

Ia menjadikan jumlah kumuatif kes sembuh di Malaysia adalah sebanyak 8,146 kes atau 95.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes baharu di negara ini pula kembali merekodkan dua angka selepas 21 kes COVID-19 dikesan, sekali gus menyaksikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 8,556 kes.

Sementara itu, kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 di negara ini adalah sebanyak 289 kes.

“Ingin dimaklumkan daripada 21 kes baharu yang dilaporkan, dua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan satu warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap.

“Daripada 19 kes penularan di dalam negara, tujuh kes adalah bukan warganegara manakala 12 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata tiada kematian baharu berkaitan COVID-19 direkodkan.

Jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes atau 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, tambahnya.

Walau bagaimanapun, katanya sebanyak tiga kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Berikut perincian bagi tujuh kes jangkitan dalam negara dalam kalangan bukan warganegara adalah:

- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: tujuh kes kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (kes ke-8498 dan kes ke-8523). Kesemua mereka adalah rakan serumah;

Sementara, bagi perincian 12 kes penularan COVID-19 dalam negara dalam kalangan warganegara pula adalah seperti berikut:

- Selangor – 10 kes: tujuh kes saringan beberapa pusat tahfiz dan madrasah; satu kes daripada Kluster Lanjut. Kluster ini akan diperincikan di bawah; satu kes daripada Kluster Warga Emas Kuala Selangor.
Beliau merupakan ahli keluarga kepada kes ke-8510; satu kes petugas barisan hadapan (bukan petugas kesihatan) di lokaliti bawah Perintah Kawalan Pergerakan Secara Pentadbiran Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama;

- Negeri Sembilan: satu kes saringan Orang Kena Tahan (OKT) di Seremban sebelum dipindahkan ke penjara;

- Sabah: satu kes saringan di dalam komuniti oleh Pejabat Kesihatan Kawasan. Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu.