Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 84 kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih COVID-19 sebanyak 4,171 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes jangkitan baharu pula dilaporkan sebanyak 57 kes baharu sekali gus menjadikan kes positif di negara ini sebanyak 6,002 kes.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1,729 kes masih aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19.

"Dimaklumkan bahawa daripada 57 kes baharu yang dilaporkan hari ini, 25 kes adalah kes import. Ini bermakna, kes penularan tempatan (local transmission) adalah 32 kes sahaja.

"Sehingga kini, seramai 36 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 14 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam sidang media harian pada Khamis.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, kes kematian yang dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) pula terdapat pertambahan dua lagi kes kematian.

Justeru katanya, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 102 kes (1.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

"Kes kematian ke-101 (kes ke-4657) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 64 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit barah darah. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 daripada kluster PUI Bali (iaitu kes ke-4476).

"Kes kematian ke-102 (kes ke-5282) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi. Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 16 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 30 April 2020 jam 12.55 tengah hari," katanya.