87 kes COVID-19 di Malaysia dilaporkan telah pulih dan dibenarkan keluar hospital.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 4,413 kes (70 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Pada masa sama, terdapat 122 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,298 kes.

"Ingin dimaklumkan bahawa daripada 122 kes baharu yang dilaporkan hari ini, 52 kes adalah kes import. Ini bermakna, kes penularan tempatan adalah sebanyak 70 kes," katanya dalam sidang media harian di sini pada Ahad.

Sehingga kini, 27 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada jumlah tersebut, 13 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, Malaysia mencatatkan pertambahan dua lagi kes kematian COVID-19.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 105 kes atau 1.66 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

• Kes kematian ke-104 (kes ke-5539) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 82 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit jantung. Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 22 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 2 Mei 2020 jam 6.29 petang.

• Kes kematian ke-105 (kes ke-5837) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 64 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang. Beliau telah dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban pada 27 April 2020 dan disahkan meninggal dunia
pada 3 Mei 2020 jam 9.46 pagi.