Kes pulih dan sembuh daripada COVID-19 terus menunjukkan peningkatan berbanding kes baharu pandemik tersebut setakat jam 12 tengah hari Ahad.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 95 kes telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kepada 3,197 kes atau 59.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sementara, sebanyak 84 kes baharu COVID-19 dicatatkan di negara ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 5,389.

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,103 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

"Sehingga kini, seramai 46 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 26 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Ahad.


Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata satu kes baharu kematian dicatatkan di negara ini, menjadikan jumlah keseluruhan 89 kes.

Mangsa berusia 51 tahun merupakan warganegara Malaysia dan disahkan meninggal dunia pada Sabtu.

"Beliau mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan kencing manis, penyakit jantung dan buah pingang.

"Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 iaitu kes ke-2,726.

"Beliau telah dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom pada 13 April dan disahkan meninggal dunia pada 18 April 2020 jam 6.49 petang," katanya.