KUALA LUMPUR:Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar kesemua masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat dan doa selamat memohon ihsan Allah SWT agar penularan wabak COVID-19 dapat dibanteras dengan berkesan dan segera.

Dalam satu kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, titah baginda itu susulan penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Ini termasuk kewujudan beberapa kluster baharu di Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Labuan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Lantaran itu, Ahmad Fadil berkata, Baginda menasihati seluruh rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara amalan kelaziman baharu.

“Ini bagi membantu pihak berkuasa memerangi penularan COVID-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara serta rakyat sentiasa terjamin,” ujarnya.

Pada Rabu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan jumlah kes baharu COVID-19 di negara sebanyak 589 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 18,129 kes.

Manakala angka kematian mencecah 170 kes dengan pertambahan tiga kematian.