Kerajaan harus mempertimbangkan bantuan kepada syarikat terutamanya kepada Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) bagi mengurangkan kesan yang dihadapi ketika negara dilanda penularan COVID-19.

Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan berkata antara langkah yang boleh dilakukan kerajaan termasuk mewujudkan moratorium bayaran balik pinjaman bagi syarikat individu termasuk untuk pinjaman yang dijamin kerajaan.

Ia bagi memastikan tiada kewujudan pinjaman tidak berbayar (NPL).



Namun, Shahril berkata moratorium itu harus disertakan dengan syarat tiada sebarang pembuangan pekerja.

Jelas Shahril, jika ada syarikat yang masih gagal membayar gaji selepas tempoh moratorium, kerajaan boleh membantu membayar 75 peratus gaji pekerja.

Tambahnya, selain itu, kerajaan juga harus memberi kelonggaran tempoh bayaran cukai pendapatan dan korporat bagi mengurangkan tekanan terhadap aliran kewangan syarikat.

“Kerajaan harus menerima hakikat nisbah defisit (fiskal) akan meningkat. Namun ia masih boleh diuruskan dan (peruntukan ini) amat diperlukan ketika krisis (COVID-19).

“Jika perlu terbitkan bon atau sukuk khas bagi membiayai pakej bantuan bersasar COVID-19.

“Terbitan ini boleh dilanggan oleh Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dan Bank Negara Malaysia,” kata sharil sambil menambah terbitan sukuk atau bon adalah pilihan terakhir.