MALAYSIA mempunyai wilayah yang terbentang dari Semenanjung Melayu sehingga ke Sabah dan Sarawak di Pulau Borneo, berkongsi sempadan darat, maritim dan udara dengan Thailand, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam, Filipina dan Vietnam.

Sebagai contoh, perbatasan semenanjung di bahagian utara berkongsi sempadan darat dengan Thailand sejauh 646.5km.

Di sepanjang garis batas kedua-dua negara ini, ada tujuh pintu sempadan yang telah didirikan iaitu Padang Besar di Perlis, Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung di Kedah, Pengkalan Hulu di Perak serta Bukit Bunga, Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor di Kelantan.

Di selatan pula, Malaysia memiliki akses darat dengan Singapura di Tanjung Kupang dan Johor Bahru.

Sabah dan Sarawak pula berkongsi sempadan darat sejauh 2,019.5km dengan Kalimantan, Indonesia. Daratan Negara Brunei Darussalam dibatasi sepenuhnya oleh Sarawak sepanjang 481.3km.

Kebanyakan kawasan perbatasan Malaysia bersama negara-negara jirannya terletak di kawasan perbukitan dan diliputi hutan tebal menyebabkan kawalan terhadap kawasan-kawasan ini sulit dilakukan.

Oleh sebab itu, masalah penyeludupan, pemerdagangan manusia dan perdagangan narkotik adalah antara isu yang saban tahun masih berlaku dan sukar ditumpaskan.

Sebagai contoh, pada tahun 2015, perkuburan Rohingya telah dijumpai di kawasan perbatasan Malaysia-Thailand di Wang Kelian dan Wang Prachan yang dipelopori aktiviti perdagangan manusia. Sekaligus ini menunjukkan adanya aktiviti penyeludupan warga Rohingya secara haram di kawasan tersebut pada ketika itu.

Selain itu, Malaysia juga memiliki wilayah maritim yang sangat luas membentang dari Selat Melaka ke Laut China Selatan ke arah Laut Sulu. Wilayah maritim Malaysia adalah lebih luas daripada wilayah daratnya, juga boleh menyebabkan kesukaran dalam mengurus dan mengawasinya.

Sempadan antarabangsa di antara Kelantan di Malaysia dan Narathiwat di Thailand menerusi Sungai Golok yang kecil itu telah banyak memisahkan penduduk yang rata-ratanya berkongsi pertalian keluarga, kebudayaan dan persaudaraan sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Adalah sulit untuk memastikan tiada pergerakan keluar masuk secara haram di kawasan perbatasan ini yang bukan sahaja didiami oleh masyarakat yang bersaudara di kedua-dua negara, dtambah pula dengan faktor kawasan yang secara geografinya terletak di pedalaman serta diliputi hutan yang tebal.

Sebelum pergerakan bebas ditamatkan pada April 2015, Pasar Wang Kelian di sempadan Perlis-Satun membenarkan orang ramai untuk membeli belah tanpa perlu menggunakan pasport antarabangsa untuk keluar dan masuk kedua-dua negara menerusi pos kawalan imigresen Malaysia-Thailand.

Pengoperasian pasar ini juga telah menimbulkan kebimbangan berlakunya kes-kes penyeludupan secara haram pada waktu itu.

Perkara yang sama boleh dikatakan untuk wilayah timur Sabah dengan kepulauan Sulu yang dahulunya sebahagian daripada wilayah yang sama tetapi dipisahkan apabila Sabah bergabung untuk membentuk Malaysia dan Filipina mencapai kemerdekaan berdekad lalu.

Penduduk di kawasan ini mempunyai pertalian persaudaraan yang erat, sama seperti keadaannya di perbatasan Malaysia-Thailand di Sungai Golok menyebabkan pergerakan keluar masuk warganegara dan warga asing di kawasan ini berlaku setiap hari sama ada secara sah atau tidak sah.

Selain itu, hal yang serupa berlaku juga di sempadan Malaysia-Indonesia di Serikin, Sarawak yang tidak mempunyai pintu sempadan yang rasmi tetapi ramai di kalangan rakyat Indonesia yang keluar masuk di antara dua negara untuk berdagang dan berniaga di Pasar Serikin dan dalam kebanyakan kes, tanpa menggunakan pasport antarabangsa.

Ini menunjukkan, walaupun gerbang-gerbang di sempadan negara telah saban tahun mengawal pergerakan keluar-masuk warganegara dan warga asing, namun terdapat juga pergerakan keluar masuk secara haram yang berlaku di sesetengah kawasan di sepanjang perbatasan negara.

Namun, perkara ini tidak lagi boleh dipandang enteng lagi sejak virus Wuhan mula mengganas di pelbagai sudut dunia. Virus Wuhan, penyebab wabak COVID-19 ini telah meragut 82 nyawa di Malaysia dengan 2464 kes aktif setakat 14 April 2020.

Jangkitan COVID-19 di Malaysia kini adalah agak mendatar dengan kes harian direkodkan tidak melebihi 200 dan tidak kurang dari 100, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), iaitu ‘perintah berkurung separa’ di isytiharkan pada 18 Mac 2020 dan dijadualkan akan berakhir pada 28 April 2020.

Singapura telah dipuja dunia menerusi pelbagai portal media dan berita antarabangsa kerana kemampuan mereka menangani wabak COVID-19 sebelum ini. Namun, pujian-pujian yang berlebihan itu telah memakan diri sendiri dan kini negara terkaya di Asia Tenggara itu telah kecundang dan kembali bergelumang dengan wabak berbahaya ini.

Pemerintah Singapura telah mengikuti langkah Malaysia dengan mengisytiharkan PKP, atau digelar sebagai ‘pemutus litar’ di negara berkenaan pada 7 April dan dijadualkan akan berakhir pada Mei 2020. Singapura kini menghadapi cabaran berat dengan merekodkan kes jangkitan harian melebihi 190 untuk lima hari berturut-turut sejak 9 April 2020.

Dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19, Malaysia perlu menutup pintu sempadan seketat-ketatnya dengan menguatkuasakan undang-undang dan mengenakan hukuman yang berat kepada mereka yang dengan sengaja menerobos masuk ke dalam wilayah negara. - Foto APMM

Jiran terdekat Malaysia di utara Semenanjung, Thailand juga menghadapi masalah yang sama, walaupun jumlah jangkitan harian di negara berkenaan tidak separah Malaysia atau Singapura. Akan tetapi, ini bukan bermaksud negara tersebut telah berjaya mengawal jangkitan COVID-19 kerana jumlah ujian saringan yang dilakukan ke atas penduduknya adalah lebih rendah daripada Malaysia dan Singapura.

Filipina kini adalah negara nombor satu di Asia Tenggara dari segi kes jangkitan COVID-19 iaitu sebanyak 4932 kes setakat 13 April 2020. Kerajaan pimpinan Presiden Duterte ini telah mengenakan perintah berkurung di Pulau Luzon, pulau terbesar di negara kepulauan berkenaan sehingga hujung April 2020 bagi mengekang penularan wabak ini.

Diam ubi berisi. Brunei Darussalam yang jarang diperkatakan di media antarabangsa ini boleh dikatakan antara negara di dunia yang telah berjaya mengekang wabak COVID-19 kerana tiada kes jangkitan baru direkodkan sejak 10 April 2020. Brunei juga telah menjalankan ujian saringan yang agak banyak dibandingkan dengan jumlah penduduknya dan tiada kematian direkodkan sejak 28 Mac 2020.

Kisah ini mungkin berbeza dengan jiran terdekat Malaysia yang terbesar, Indonesia. Negara yang mempunyai jumlah penduduk keempat terbanyak di dunia ini merekodkan jumlah kematian akibat Covid-19 yang tertinggi di Asia Tenggara dan jangkitan harian baru di negara tersebut melebihi 200 orang sejak 6 April sehingga 13 April 2020.

Berbeza dengan negara-negara Asia Tenggara yang lain, kerajaan Indonesia tidak mengisytiharkan perintah berkurung seperti yang telah dilakukan di Malaysia, Singapura, Thailand dan Filipina. Portal akhbar CNN Indonesia pula melaporkan pada 8 April 2020 bahawa Indonesia adalah antara negara yang menjalankan ujian saringan yang paling rendah di dunia di kalangan rakyatnya.

Ini bermaksud, kemungkinan besar jumlah kes positif COVID-19 yang dilaporkan di Indonesia tidak menggambarkan realiti sebenar jangkitan yang berlaku di negara jiran tersebut.

Pakar perubatan Malaysia, Dr. Musa Nordin menerusi temubual beliau di Astro Awani pada 9 April 2020 yang lalu dengan lantang menyebut bahawa Indonesia adalah bom jangka Covid-19 dan menyeru kerajaan Malaysia agar menutup semua pintu sempadan seerat-eratnya bagi mengekang jangkitan baru dari luar.

Oleh itu, Malaysia perlulah meningkatkan pengawasan bukan sahaja di pintu-pintu rasmi malah di jalan-jalan tikus yang tersebar di sepanjang sempadan darat serta persisiran pantai negara yang beribu kilometer jaraknya. Kedatangan pelarian Rohingya ke persisiran negara di Langkawi baru-baru ini menunjukkan sempadan maritim perlu dikawal rapi bagi mengelakkan pencerobohan.

Usaha mengawal sempadan negara ini pastinya melibatkan banyak agensi-agensi kerajaan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM), Jabatan Imigresen Malaysia, Polis DiRaja Malaysia dan sebagainya.

Dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19, Malaysia perlu menutup pintu sempadan seketat-ketatnya dengan menguatkuasakan undang-undang dan mengenakan hukuman yang berat kepada mereka yang dengan sengaja menerobos masuk ke dalam wilayah negara.

Pihak berkuasa perlulah menyusun semula strategi kawalan perbatasan dan memperbaiki sebarang kelemahan yang ada agar sempadan negara tidak poros terutama sekali apabila tanahair sedang berhadapan dengan virus berbahaya yang boleh menyusup masuk seandainya leka.



* Leftenan Komander Profesor Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli adalah pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan ahli pasukan simpanan sukarela Tentera Laut DiRaja Malaysia.

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.