Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 36 kes positif COVID-19 baharu dikesan sehingga jam 12 tengah hari Isnin, menjadikan jumlah kes kumulatif sebanyak 5,425 kes di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata angka itu merupakan jumlah kes terendah yang dicatatkan sejak 12 Mac lalu.

Jelasnya, tiada pertambahan kes kematian dicatatkan sehingga jam 12 tengah hari Isnin dengan jumlah kematian kekal sebanyak 89 kes setakat ini.

"Sehingga jam 12 tengah hari tadi, terdapat 36 kes baharu yang dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 5,425 kes.

"Ini merupakan bilangan kes harian yang paling rendah direkod setakat ini. Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,041 kes sehingga ini.

"Daripada maklumat terkini yang telah dilaporkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), tiada sebarang kematian terbaharu setakat ini," katanya dalam sidang media di Putrajaya pada Isnin.

Sehingga kini, seramai 45 kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 28 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Bagaimanapun tambah Hisham, jumlah kes baharu mungkin boleh meningkat kembali dalam tempoh dua minggu akan datang memandangkan aktiviti pengesanan kes masih giat dijalankan ketika ini.

"Aktiviti pengesanan kes sedang giat dijalankan terutam terhadap rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara dan di lokaliti yang terlibat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)," katanya.