Jabatan Mufti Negeri Perak mengambil maklum tentang persoalan ramai pihak sama ada boleh atau tidak mengambil bayaran penuh, sedangkan anak tidak dihantar ke rumah pengasuh ketika wabak COVID-19.

Malahan, persoalan itu turut merangkumi bayaran yuran tadika, tuisyen dan persekolahan menerusi komen netizen.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perak pada Khamis, kaedah perbincangan dan pemakluman awal merupakan kaedah terbaik supaya wujud keredaan antara kedua pihak yang berkontrak (berakad).

"Reda antara pihak-pihak, penekanan terhadap kaedah samada perbincangan, taklimat, perundingan atau pemakluman awal antara ibu/bapa/penjaga bersama pengusaha/pengasuh/pentadbir sekolah/institusi dengan merujuk terma dan perjanjian sama ada bertulis atau lisan.

"Penjelasan yang dinyatakan ini turut menekankan bahawa sebarang perkhidmatan/sewaan/jual beli antara pihak-pihak tertakluk kepada undang-undang, peraturan-peraturan atau pernyataan yang dikemukakan oleh pihak berwajib.

"Rakyat perlu sedar pihak berwajib mempunyai hak mengadakan undang-undang, peraturan-peraturan atau apa-apa pernyataan selagi mana tidak bercanggah dengan syarak," katanya.

Ujarnya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan penularan wabak COVID-19 dikira sebagai salah satu hal mendatang yang tidak terduga ‘awaridh tari’ah" atau "zuruf tari’ah" yang memberikan kesan kepada kemampuan dan keberkesanan terhadap perkhidmatan.

"Bagi menjamin perkhidmatan tetap boleh dilaksanakan kepada pelanggan, pengasuh, pengusaha tadika atau taska, pusat tuisyen, sekolah atau institusi boleh memberi dan membekalkan perkhidmatan kepada pelanggan atau penyewa dengan mekanisme yang pelbagai.

"Sebagai contoh, kaedah perkhidmatan boleh diluaskan samada termasuk secara online (maya)," katanya.

Tambahnya, penjelasan terhadap persoalan mualamat tersebut bukanlah fatwa yang diwartakan sebagaimana yang dikehendaki berdasarkan akta atau Enakmen.

Ia merupakan Irsyad Hukum (petunjuk hukum) yang dikeluarkan oleh Mufti sebagai panduan umum kepada persoalan umum masyarakat terhadap sebarang isu semasa.

Di samping itu, mereka yang terlibat perlu mengambil langkah menang-menang dengan pihak ibu bapa atau penjaga disebabkan faktor mendatang yang tidak diduga.

"Ibu bapa atau penjaga juga perlu mengelakkan sifat terlalu berkira terhadap pihak pengasuh/pengusaha tadika/taska/sekolah/institusi.

"Sifat bertolak-ansur perlu dengan mengambil kira jasa dan pengorbanan mereka terhadap anak-anak," ujar kenyataan itu.

Tambahnya, pengusaha yang terbabit juga perlu membuat persediaan kewangan dengan mewujudkan dana rizab dan simpanan bagi menjamin kelangsungan perniagaan dan perkhidmatan di waktu dan keadaan yang tidak diduga.