Kerajaan Persekutuan disaran mencontohi model kerajaan Sarawak untuk mengehadkan pergerakan antara zon di Semenanjung Malaysia susulan peningkatan kes COVID-19 di Malaysia.

Pakar epidemiologi, Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud berkata, kerajaan juga tidak perlu berbalik kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Sebaliknya kata beliau, kerajaan boleh mengikut jejak langkah kerajaan Sarawak memandangkan kebanyakan negeri di Semenanjung tidak merekodkan kes baharu bahkan empat lagi negeri dikategorikan sebagai zon hijau kerana tidak ada kes baharu langsung.

"Jadi saya berpendapat kerajaan wajar dan patut dipraktikkan langkah ini bagi membendung penularan kes dari zon kuning ke hijau," katanya kepada Astro AWANI menerusi temubual Skype di sini, pada Isnin.


Terdahulu dalam sidang akhbar harian hari ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan Persekutuan meluluskan permohonan kerajaan Sarawak untuk mengehadkan pergerakan perjalanan antara zon di Sarawak mulai 1 hingga 14 Ogos ini.

Dalam pada itu, Dr Awang Bulgiba mengesyorkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meningkatkan meningkatkan ujian pengesanan COVID-19 memandangkan negara mempunyai kapasiti yang jauh lebih tinggi daripada saringan yang dilakukan sekarang.

"Saya juga merasakan kita perlu melakukan syndromic surveillance iaitu pengesanan bagi penyakit bergejala seperti pesakit Influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI).

"Ini adalah untuk mengetahui kemungkinan kewujudan petanda awal kepada COVID-19 tanpa saringan dengan menggunakan sistem yang sedia ada," ujarnya.