Menjelang bulan Ramadan yang bakal disambut pada Jumaat ini, umat Islam disarankan untuk terus kekal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, masyarakat Islam perlu menyesuaikan diri dengan normal baharu, selain mengelakkan aktiviti kunjung-mengunjung ke rumah rakan dan saudara sepanjang bulan tersebut.

Jelasnya, Kementerian Kesihatan (KKM) khuatir aktiviti tersebut yang menjadi kelaziman rakyat Malaysia, akan mengakibatkan penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan ahli keluarga.

“Umat Islam di negara ini diseru untuk menggunakan peluang semasa bulan Ramadan yang bakal menjelma untuk menjalankan aktiviti dan amalan keagamaan seperti persediaan juadah berbuka puasa dan solat berjemaah dengan keluarga di rumah masing-masing.

“Selain daripada meraikan bulan Ramadan bersama keluarga tersayang di rumah, langkah ini dapat membantu kita menjaga dan melindungi ahli keluarga yang dikasihi terutamanya ibu bapa yang tua dan anak-anak kecil daripada dijangkiti penyakit COVID-19,” katanya dalam sidang media, di sini pada Rabu.

Jelasnya, masyarakat perlu mengambil iktibar daripada penyebaran jangkitan COVID-19 dalam kluster Pengerang dan Sub-kluster Rembau, yang dipercayai berpunca daripada aktiviti kunjung-mengunjung.