Tidak ada pemotongan bekalan bagi pengguna-pengguna yang lewat membayar bil elektrik dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa iaitu pada 18 Mac sehingga 31 Mac 2020, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata pihak Tenaga Nasional Berhad dan Sabah Electricity Sdn Bhd telah bersetuju untuk memberi kelonggaran ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

"Sebagai industri yang prihatin dengan cabaran besar yang dihadapi oleh rakyat berikutan penularan wabak COVID-19 ini, saya ingin mengumumkan bahawa pihak Tenaga Nasional Berhad dan Sabah Electricity Sdn. Bhd. tidak akan membuat pemotongan bekalan elektrik bagi pengguna-pengguna yang lewat membayar elektrik bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa iaitu pada 18 Mac sehingga 31 Mac 2020," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ekoran penularan wabak COVID-19, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan yang mula berkuatkuasa pada Rabu.

Perintah tersebut melibatkan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara.