Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan terdapat empat kes baharu positif COVID-19 dilaporkan pada Khamis.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara ini adalah sebanyak 8,600 kes dengan masih terdapat 208 kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, daripada empat kes baharu yang dilaporkan, tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Manakala satu kes lagi adalah kes penularan di dalam negara iaitu kes saringan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Johor.

"KKM juga ingin memaklumkan terdapat 40 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,271 kes (96.2 peratus)," katanya lagi.

Manakala tiada pertambahan kes kematian direkodkan hari ini, jumlah kematian kekal 121 kes.