PUTRAJAYA:Terdapat pertambahan empat kluster baharu COVID-19 direkodkan pada Khamis, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Kluster itu direkodkan masing-masing satu di Selangor, Sabah, Putrajaya dan Kedah.

Berikut adalah perincian kluster terbabit, kata Dr Noor Hisham.

KLUSTER JALAN MERU, SELANGOR

Kluster baharu ini dikenal pasti di Klang, dengan kes indeks kluster iaitu kes ke-11,148 merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 30 tahun.

"Kes mula bergejala sejak 24 September dan saringan COVID-19 mendapati dia positif pada 29 September sebelum dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan tiga lagi kes positif COVID-19 bagi Kluster Jalan Meru dikenal pasti.

“Semua kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia. Mereka telah dimasukkan ke
Hospital Sungai Buloh untuk rawatan,” jelasnya dalam sidang media pada Khamis.

KLUSTER JOO HWA, SABAH

Kluster baharu ini dikenal pasti di Tawau, dengan kes indeks iaitu kes ke-10,273 adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 31 tahun.

Kes mula bergejala demam dan batuk sejak 14 September sebelum disahkan positif pada 20 September.

“Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan empat agi kes positif COVID-19 bagi Kluster Joo Hwa dikenal pasti. Semua kes positif ini melibatkan  warganegara Malaysia.

“Mereka telah dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan. Sehingga 1 Oktober, seramai 126 individu telah disaring dan punca jangkitan masih dalam siasatan.,” katanya.

Keputusan saringan adalah seperti berikut:
• Lima dikesan positif COVID-19;
• 11 individu dikesan negatif
• 110 individu masih menunggu keputusan.

KLUSTER SELASIH, PUTRAJAYA

Kluster baharu ini dikenal pasti di Putrajaya, dengan kes indeks iaitu kes ke-11,134 adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 37 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Kota Kinabalu, Melangkap dan Kundasang, Sabah pada 13 hingga 20 September dan 24 hingga 27 September.

"Kes mula bergejala demam dan batuk sejak 25 September. Kes tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 27 September dan disahkan positif pada 28 September.

“Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan enam lagi kes positif COVID-19 bagi Kluster Selasih dikenal pasti. Enam kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia. Mereka telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

“Sehingga 1 Oktober 2020, seramai 28 individu telah disaring dan punca jangkitan adalah masih dalam siasatan,” ujarnya.

Keputusan saringan adalah seperti berikut:
• Tujuh  dikesan positif COVID-19;
• Lapan dikesan negatif
• 13 individu masih menunggu keputusan.

KLUSTER BAH KETIL, KEDAH

Kluster baharu ini dikenal pasti di daerah Baling dan Langkawi, Kedah, dengan kes indeks iaitu kes ke-11,129 adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 39 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Tawau, Sabah pada 17 hingga 21 September.

"Kes bergejala batuk dan sakit otot bermula pada 24 September dan mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan di Sungai Petani, Kedah. Kes indeks disahkan positif pada 28 September.

“Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan lapan lagi kes positif COVID-19 bagi Kluster Bah Ketil dikenal pasti.

“Tiga kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia. Mereka telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah dan Hospital Langkawi, Kedah untuk rawatan.

“Sehingga 1 Oktober 2020, seramai 252 individu telah disaring dan punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Keputusan saringan adalah seperti berikut:
• Sembilan dikesan positif COVID-19;
• 203 dikesan negatif
• 40 individu masih menunggu keputusan.