MIRI:Empat pasar di bandaraya Miri diarah tutup serta-merta sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Keputusan dibuat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak bahagian Miri selepas daerah itu dikategorikan sebagai zon merah COVID-19.

Menerusi kenyataan media Majlis Perbandaran Miri pada Isnin, antara pasar diarahkan tutup adalah Pasar Minggu Centre Point, Pasar Minggu Lutong, Tamu Maigold dan Pasar Malam Saberkas.

“Pihak Majlis Perbandaran Miri memutuskan untuk menutup pusat penjaja ini memandangkan mobiliti yang tinggi melibatkan peniaga di sana.

“Langkah-langkah yang diambil dianggap perlu dan tidak dapat dielakkan kerana Miri masih diklasifikasikan sebagai zon merah dan berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” kata kenyataan itu.

Terdahulu pada Sabtu, JPBN Sarawak memutuskan operasi pasar harian dan pasar tani di zon merah tidak dibenarkan beroperasi.

Majlis Perbandaran Miri turut menasihati agar penduduk supaya terus mematuhi panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika berkunjung ke mana-mana premis perniagaan di bandaraya itu.

Selain itu, Gerai Taman Seroja, Jalan Setia Raja turut ditutup pada Isnin sehingga 17 Februari ini bagi membolehkan kerja-kerja pensanitasian dilakukan.