Sebanyak enam kes baharu COVID-19 telah dikesan sehingga 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 99 kes, kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam satu kenyataan petang Ahad, beliau berkata, kesemua kes baharu itu terdiri daripada kontak rapat kluster kes ke-26.

“Kesemua kes ini telah dikesan semasa aktiviti pengesanan kontak dan telah dimasukkan ke hospital bagi isolasi dan rawatan selanjutnya.

“Aktiviti pengesanan kontak rapat masih sedang dijalankan sehingga punca di mana jangkitan ini terjadi dapat dikenalpasti,” katanya lagi.

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 18 kes dikesan dalam kalangan Patient-Under-Investigation (PUI) jangkitan COVID-19, 79 kes dari kalangan kontak rapat dan dua (2) lagi kes dari Misi Bantuan Kemanusiaan.

Jelasnya lagi, daripada jumlah ini pula, sebanyak dua kes telah dilaporkan memerlukan bantuan pernafasan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi. Kes-kes ini juga telah diberikan rawatan anti-viral.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa kes ke-41 telah pulih dan dibenarkan discaj daripada wad Hospital Kuala Lumpur.

“Ini menjadikan 24 kes telah pulih sepenuhnya setakat ini dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad,” katanya lagi.