Sebanyak enam kes baharu jangkitan COVID-19 dilaporkan pada Jumaat, menjadikan jumlah keseluruhan kes dalam negara sebanyak 8,606 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, tiada penularan dalam negara di kalangan bukan warganegara dilaporkan.

“Sehingga 26 Jun 2020, jam 12 tengah hari, terdapat enam kes baharu yang dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,606 kes.

"Ingin dimaklumkan daripada enam kes baharu yang dilaporkan, lima kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan empat warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia di atas urusan kerja.

"Satu kes penularan di dalam negara pula adalah warganegara Malaysia, iaitu kes saringan tempat kerja di Kuala Lumpur," jelasnya dalam sidang media Kementerian Kesihatan di Putrajaya pada Jumaat.

Pada masa sama, Malaysia mencatatkan sifar kes kematian selama 12 hari beturut-turut.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes (1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” jelas Dr Noor Hisham lagi.