Hanya satu pertambahan kes positif COVID-19 dilaporkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, satu-satunya kes itu dicatatkan di lain-lain lokaliti di luar Bandar Baru Ibrahim Majid di Kluang, Johor.

"Pertambahan satu kes COVID-19 menjadikan jumlah kes di lain-lain lokaliti di luar Bandar Baru Ibrahim Majid kepada 39 kes," katanya pada sidang media harian perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini, hari ini.

Jelas Dr Noor Hisham, kes COVID-19 di kawasan PKPD yang lain iaitu Bandar Baru Ibrahim Majid kekal 183 kes, Kampung Sungai Lui kekal 131 kes, bukan Kampung Sungai Lui kekal 315 kes.

Sementara kes COVID-19 di Menara Plaza City One kekal 39 kes, Malayan Mansion kekal empat kes, di Selangor Mansion kekal 84 kes.

Kawasan PKPD paling baharu iaitu Masjid India belum mencatatkan sebarang kes setakat hari ini, katanya.

Mengenai kluster Sri Petaling, Dr Noor Hisham berkata, setakat hari ini bilangan individu yang diperiksa ialah 28,201 dengan 26,199 sampel sudah diambil.

Bilangan individu yang positif daripada kluster berkenaan ialah 1,946 dengan 22,900 individu adalah negatif, katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kluster persidangan gereja di Kuching mencatatkan sembilan kes baharu manakala terdapat lima kes baharu di kluster kilang di Pasir Gudang.

Kluster di Sabah yang menghadiri perhimpunan tabligh Makassar mencatatkan dua kes baharu, katanya.

Menurutnya satu lagi kluster yang mencatatkan dua kes baharu adalah kluster petugas kesihatan Sabah.

Kluster pesakit dalam siasatan yang berkaitan dengan Bali mencatatkan satu kes baharu manakala kluster kejuruteraan di Pahang mencatatkan satu kes baharu, katanya. - BERNAMA